Jalan sempit di Kampung Jebungan, Kpg Suyong dibaik pulih, dilebar

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

KUCHING: Jalan-jalan sedia ada yang sempit di Kampung Jebungan dan Kampung Suyong di kawasan Balingian, dirancang dibaik pulih dan dilebarkan pada tahun depan.

Menurut Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, pada masa ini kedua-dua jalan sepanjang 22 kilometer itu hanya mempunyai kelebaran 4.3 meter.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) mempunyai perancangan untuk melebarkan jalan-jalan ini kepada 5 meter, yang dianggarkan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.85 juta,” katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab soalan Abdul Yakub Arbi (BN-Balingian), mengenai perancangan untuk menaik taraf serta melebarkan jalan-jalan kampung di dalam konstituensinya, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Namun demikian, Penguang berkata Majlis Daerah Dalat dan Mukah tidak mempunyai perancangan untuk menaik taraf atau melebarkan jalan- jalan di Kampung Lintang, Kampung Masjid, Kampung Pulat dan Kampung Baru.

Jelas beliau, ia disebabkan kampung-kampung tersebut tidak mempunyai rizab jalan yang mencukupi dan setakat ini, pihak majlis hanya melakukan kerjakerja menurap semula jalan-jalan tersebut.

Bagaimanapun, katanya pelebaran jalan di keempatempat kampung tersebut boleh dilakukan jika ia mendapat persetujuan dan kerjasama daripada penduduk setempat.

“Kerja pelebaran jalan kampung-kampung ini dapat dilaksanakan jika tanpa sebarang pampasan untuk kebaikan dan kesejahteraan penduduk,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.