Kerja-kerja peleraian perkakas bunga api dan lampu selepas majlis perasmian masih dilaksanakan

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

KUCHING: Meskipun telah dirasmikan pada 11 November lalu, namun Jambatan Darul Hana masih belum dibuka kepada umum dalam masa terdekat atas faktor keselamatan.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerja-kerja peleraian perkakas bunga api dan lampu selepas majlis perasmian masih di- laksanakan.

“Jadi buat masa terdekat ini, jambatan (Darul Hana) ini tidak dapat dibuka orang awam dahulu.

“Kita sememangnya mementingkan faktor keselamatan, sekarang pihak kontraktor masih menjalankan kerja-kerja peleraian perkakas bunga api dan lampu pentas,” katanya.

Karim berkata demikian ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri ( DUN) Sarawak di sini semalam.

Ikon baharu bandar raya Kuching itu dikatakan mempunyai had kapasiti sehingga 1,000 orang pada suatu masa.

“Oleh itu sekiranya kita buka (jambatan) pada masa ini, saya rasa ramai yang akan berdiri di sana.

“Lebih-lebih lagi ketika menyaksikan regata, mungkin akan terdapat lebih daripada jumlah itu berada di atas jambatan,” jelasnya.

Untuk itu katanya, ia antara sebab mengapa jambatan itu belum dibuka kepada umum.

Bagaimanapun, Karim berkata dua susur masuk akan dijaga apabila jambatan tersebut dibuka kepada umum kelak bagi mengelak kemasukan melebihi had selamat iaitu 800 orang.

Jambatan emas yang menghubungkan Tebingan Kuching dengan Pangkalan Sapi itu dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada detik 11.11.11 malam Sabtu lalu.

Jadi buat masa terdekat ini, jambatan (Darul Hana) ini tidak dapat dibuka orang awam dahulu. Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan

Laporan oleh Saibi Gi, Patricia Gari, Jessica Jawing, Nick Fletcher, Henrietta Liza, Mohd Shafik Ahmad

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.