Laluan ekspressway baharu perlu dibina di bahagian Samarahan tangani kesesakan

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

KUCHING: Laluan ekspressway baharu perlu dibina di bahagian Samarahan bagi menangani masalah kesesakan trafik yang membelenggu penduduk di kawasan tersebut.

Cadangan itu disuarakan Datuk Idris Buang (BN-Muara Tuang) pada sesi perbahasan Bajet Negeri 2018 pada Persidangam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 kelmarin.

Beliau memberitahu, laluan expressway baharu itu bagi menghubungkan Muara Tuang, Samarahan dengan Kuching serta bandar yang berdekatan.

“Tidak dinafikan kawasan Muara Tuang adalah antara kawasan yang menerima arus pembangunan yang memberangsangkan sejak kepimpinan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

“Disebabkan itulah juga jumlah populasi di kawasan Muara Tuang, Samarahan semakin memuncak berbanding sebelumnya sekali gus menimbulkan masalah trafik di kawasan tersebut terutama pada waktu puncak,” katanya.

Idris menegaskan bahawa masalah kesesakan lalu lintas adalah antara perkara yang paling menghimpit rakyat di Muara Tuang.

Jelasnya lagi, disebabkan masalah trafik di kawasan itu, penduduk Samarahan yang mahu ke pusat bandar ketika waktu puncak terpaksa mengambil masa lebih dua jam untuk sampai ke destinasi di Kuching.

“Bayangkan perkara ini dihadapi setiap hari, ia adalah sesuatu yang amat membebankan.

“Untuk itu, bagi memberi keselesaan kepada rakyat adalah baik sekiranya satu atau dua laluan ekspressway baharu dibina bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

Menurutnya, laluan ekspressway baharu ini boleh dibina melalui Jalan Serian atau Kuap atau BCCK ke Tanjung Bako atau jalan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) atau di Stutong.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.