SALCRA tidak bercadang teruskan program penanaman semula

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

KUCHING: Lembaga Perlindungan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak (SALCRA) tidak bercadang meneruskan program penanaman semula di kawasan Babang, Krian Ulu dan Ulu Awik di kawasan Krian.

Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, bagi kawasan-lawasan berkenaan tempoh penanaman peringkat pusingan pertama hampir tamat.

“Tanah tersebut akan dikembalikan secara automatik kepada pemilik tanah selepas tamat tempoh.

“Setakat ini SALCRA tidak bercadang meneruskan program penanaman semula di kawasan Babang, Krian Ulu dan Ulu Awik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ali Biju (PKR-Krian) mengenai tempoh penanaman semula ladang SALCRA di kawasan-kawasan berkaitan pada Persidangan DUN, semalam.

Sementara itu mengenai pemberian surat hak milik tanah di kawasan berkaitan, Sagah berkata sebanyak 432 lot telah diberikan surat hak milik tanah.

“Bagi kawasan Babang dan Ulu Krian, sejumlah 233 peserta telah dikeluarkan hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

“Sementara 126 peserta di kawasan Ulu Awik telah dikeluarkan hak milik tanah di bawah seksyen yang sama,” katanya.

Berhubung peserta yang berminat menyertai penanaman pusingan kedua, Sagah berkata memandangkan tiada cadangan pusingan kedua maka tiada peserta yang terlibat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.