Tangani masalah setinggan di Bintulu Kekurangan program perumahan, penduduk jadikan setinggan alternatif perumahan

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

KUCHING: Kerajaan perlu mengambil perhatian serius serta menangani segera masalah setinggan di Bintulu termasuk di kawasan Samalaju.

Majang Renggi (BN-Samalaju) berkata, kekurangan pelbagai program perumahan kos rendah, kos sederhana dan rumah mampu milik di Bintulu termasuk kawasan Samalaju telah menyebabkan segelintir penduduk menjadikan kawasan setinggan sebagai salah satu alternatif perumahan bagi mengurangkan kos sara hidup.

“Saya memohon agar kerajaan dapat menyediakan kemudahan rumah mampu milik dan rumah mesra rakyat mahupun penempatan semula di Bintulu dan kawasan Samalaju.

“Ia sebagai usaha jangka panjang untuk menangani masalah setinggan yang kian sesak terutama di kawasan Sungai Plan, jalan dari Bintulu menuju ke Tanjung Kidurong-Bakam, Miri,” katanya pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2018), 2017 yang dibentangkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg pada hari pertama Persidangan DUN 8 November lepas.

Majang berkata, selain itu kerajaan perlu memperhebat dan menambah bilangan kuota pengambilan jumlah pelajar ke institusi-institusi latihan kemahiran seperti Institut Kemahiran MARA (IKM), kolej vokasional dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi.

Beliau berkata ia kerana graduan atau tenaga kerja mahir berkenaan bakal mengisi pelbagai jawatan tenaga kerja mahir di pelbagai industri di negeri ini khususnya yang bertapak di zon perindustrian Samalaju.

“Peningkatan tenaga kerja mahir perlu dilakukan dengan bersungguh- sungguh memandangkan negara kita masih ketinggalan berbanding negara lain ketika ini.

“Dengan adanya pelbagai pelan pembangunan modal insan yang komprehensif seperti program dan latihan kemahiran yang diperkenalkan kerajaan, maka menghasilkan tenaga kerja mahir tempatan yang berkualiti dan berintegriti tinggi adalah tidak mustahil,” katanya.

Selain itu beliau turut menyuarakan agar syarikat atau kilang milik pelabur asing mahupun tempatan meningkatkan pengambilan tenaga kerja daripada kalangan anak tempatan serta mengutamakan pemberian kontrak dan perkhidmatan kepada syarikat tempatan.

Ia termasuk syarikat seperti Press Metal Bintulu Sdn Bhd, OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd, Sakura Ferroaloys Sdn Bhd, OCIM Sdn Bhd dan Pertama Ferroalloys Sdn Bhd.

Mengenai kemudahan kesihatan, Majang berkata, perlu ada perancangan daripada pihak kerajaaan dalam memastikan penyediaan perkhidmatan klinik di kawasan Samalaju, agar orang ramai terutama penduduk mendapatkan akses kepada rawatan perubatan yang menyeluruh.

Katanya kemudahan perkhidmatan kesihatan yang ada adalah jauh dan kos pengangkutan, di mana paling hampir dengan Taman Perindustrian Samalaju adalah 60km iaitu hospital di bandar Bintulu dan 150km jaraknya dari Hospital Miri.

“Selain faktor jarak, pertambahan bilangan penduduk juga mendadak kesan daripada peningkatan bilangan pekerjaan bagi menampung keperluan kekosongan di kilang-kilang milik pelabur asing mahupun tempatan,” tegasnya lagi.

MAJANG

Laporan oleh Saibi Gi, Patricia Gari, Jessica Jawing, Nick Fletcher, Henrietta Liza, Mohd Shafik Ahmad

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.