322 lot kediaman Penan Muslim Batu 10, Bintulu telah diukur

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

KUCHING: Kerajaan telah mengukur sejumlah 322 lot kediaman Penan Muslim Batu 10 di Bintulu dengan 186 daripadanya telah dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata, bagi mereka yang belum dikeluarkan surat hak milik tanah boleh memohon selepas rumah didirikan di tanah tersebut.

“Sejumlah 322 lot kediaman telah diukur di kediaman Penan Muslim Batu 10, daripada jumlah tersebut 186 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri telah dikeluarkan dan diserahkan kepada pemilik.

“Bagi lot yang belum dikeluarkan surat hak milik tanah, mereka boleh memohon untuk dikeluarkan surat hak milik tanah setelah rumah didirikan di tanah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Majang Renggi (BN-Samalaju) mengenai jumlah lot serta pengeluaran surat hak milik tanah kepada penduduk Penan Muslim di Batu 10 Bintulu pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Sementara itu kepada penduduk yang telah mendirikan kediaman di tanah Lot 71, 384, 619 dan 382 di kawasan Samalaju, Len Talif berkata, berdasarkan rekod Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Lot 71 dinyatakan berkemungkinan merujuk kepada Lot 71 Blok 33 Kemena Land District, yang merupakan tanah kerajaan berdaftar.

Berkaitan Lot 384, Lot 619 dan Lot 382 pula berkemungkinan merujuk kepada Lot 384 Blok 33 Kemena Land District, Lot 619 dan Lot 382 Blok 27 Kemena Land District.

“Lot 384 Blok 33 Kemena Land District yang diukur pada tahun 2015 adalah lot pecahan daripada Lot 71 Blok 33 Kemena Land District dan merupakan Tanah Kerajaan Berdaftar,” katanya.

Bagi Lot 619 Blok 27 Kemena Land District adalah lot pecahan daripada lot asal iaitu Lot 3 Blok 27 Kemena Land District dan merupakan Tanah Kerajaan Berdaftar.

“Penduduk yang terlibat dinasihati berhubung terus dengan penguasa tanah dan survei bahagian Bintulu bagi membincang dan mencari penyelesaian berhubung kedudukan mereka di tanah tersebut,” tegasnya.

Jelasnya manakala Lot 382 pula, berkemungkinan merujuk kepada Lot 382 Blok 27 Kemena Land District yang merupakan salah satu lot kediaman yang telah diukur melalui Pengukuran Kampung Tradisional untuk Kampung Penan Muslim.

“Oleh itu status tanah ini adalah tertakluk kepada tanah Hak Adat Bumiputera (NCR),” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.