Keluarkan surat hak milik ke atas baki lot bilik dan tanah

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

KUCHING: Kerajaan negeri diminta mengeluarkan surat hak milik ke atas baki lot bilik dan tanah bagi 922 lot di bawah Seksyen 18 (hak milik kekal) di Skim Penempatan Semula (BRS) Sungai Asap.

Kennedy Chukpai Ugon (BNMurum) berkata pengeluaran surat milik itu secara dasarnya telah diumum dan disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing di Sungai Asap pada 5 Mei 2016 semasa Pilihan Raya Negeri Ke-11 lalu melibatkan premium sebanyak RM880,510.

“Sehubungan itu, saya juga memohon agar kerajaan membayar balik premium sebanyak RM2,343,042 kepada 1,178 keluarga yang telah membayar premium ke atas lot bilik dan lot tanah masing-masing melalui potongan terus (kontra) daripada pampasan mereka.

“Ini kerana jika kerajaan memberi tanah- tanah ini di bawah Seksyen 18 - hak milik kekal maka premium bagi tanah- tanah ini adalah percuma,” katanya ketika membahas Bajet Negeri 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Chukpai turut memohon kelulusan segera tambahan tiga ekar lot pertanian seluas 6,400 ekar yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Kapit seperti dijanjikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau mengadakan lawatan ke Skim Penempatan Semula Bakun (BRS) Sungai Asap pada 16 Januari 2011.

“Saya juga memohon kelulusan segera pembinaan jalan ke lotlot pertanian seperti dijanjikan Perdana Menteri (Najib) ketika lawatan beliau ke BRS Sungai Asap pada 16 Januari 2011.

“Diminta juga kelulusan segera bagi permohonan lot kediaman dan lot pertanian bagi 1,264 keluarga baharu di BRS Sungai Asap,” katanya.

Beliau turut meminta kerajaan mengeluarkan surat hak milik tanah bagi 302 Lot Kediaman dan 284 Lot Pertanian (0.5 hektar kebun halaman) di Skim Penem- patan Semula Murum (MRS) di kawasan Metalun dan Tegulang agar mereka dapat mengusahakan Lot Pertanian masing-masing.

Beliau berkata ketika ini penduduk di situ bergantung hidup kepada subsidi makanan yang sangat terhad.

“Mohon dipercepatkan pelaksanaan Tanaman Sara Hidup (taman komersil) bagi penduduk di MRS di kawasan Metalun dan Tegulang seperti dijanjikan agar mereka dapat menikmati hasilnya dalam masa terdekat. Mereka sudah menunggu hampir lima tahun.

“Selain itu jalan bekas balak yang satu-satunya jalan menghubungkan kawasan Metalun dan Tegulang ini dilaksana dengan segera kerana keadaan jalanjalan ini sangat teruk sekarang yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna,” katanya.

Chukpai turut menyentuh prasarana kesihatan di konstituensinya yang dikatakan sangat daif dan serba kekurangan dari segi kelengkapan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.