PH perjuang 30 peratus wanita dalam jawatan kepimpinan, pembuat keputusan

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

KUCHING: Pakatan Harapan (PH) memperjuangkan sebanyak 30 peratus kuota perwakilan wanita dalam jawatan kepimpinan dan pembuat keputusan negeri dan negara.

Naib Presiden Wanita PKR Kebangsaan Voon Shiak Ni berkata demikian sambil menambah, Malaysia menduduki ranking ke-156 daripada 190 negara dari segi perwakilan wanita dalam Parlimen, menurut Kesatuan Antara Parlimen.

“Parlimen Malaysia kini mempunyai 10.8 peratus sahaja perwakilan wanita.

“Kabinet persekutuan mempunyai hanya tiga orang menteri wanita manakala Kabinet Kerajaan Negeri Sarawak hanya ada seorang menteri wanita. Tidak payah sebut pelantikan senator dan dalam kerajaan tempatan pada peringkat negeri di Sarawak.

“Maka itu, salah satu agenda Wanita PH adalah untuk berkempen bagi perwakilan dan kuota wanita 30 peratus dalam jawatan kepimpinan.

“Juga sebagai pembuat keputusan selain perwakilan wanita 30 peratus pada peringkat membuat keputusan dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK) serta majlis tempatan dan dalam kerajaan serta syarikat korporat berkaitan kerajaan.

“Ini adalah pendirian kebangsaan yang diambil oleh Wanita PH,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Usaha itu juga tegasnya, selari dengan kewajipan negara untuk melindungi dan menggalakkan dasar yang mencerminkan kepentingan kaum wanita kerana Malaysia turut menandatangani Konvensyen Menghapuskan Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

Kesamarataan jantina bukan hanya mengenai hak wanita sahaja tetapi agenda yang akan membawa perubahan sosioekonomi dan masyarakat berkualiti lebih tinggi.

Wanita PH menggesa kerajaan negeri meningkatkan lagi usaha bagi menambah perwakilan wanita dalam negeri ini pada semua peringkat dan memberi lebih banyak peluang kepada wanita untuk mengambil bahagian dalam usaha membina negara dan masyarakat dan bukan hanya memuji mereka sahaja pada majlis mereka.

Turut hadir Ketua Wanita PKR Sarawak Nurhanim Mokhsen, Ketua Wanita Parti Tindakan Demokratik (DAP) Bukit Assek Irene Chang.

HAK WANITA: Voon (kanan) dan Irene (kiri) tegas memperjuangkan perkara yang sama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.