Penduduk harap kerajaan beri surat hak milik tanah tapak rumah panjang

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

SEMATAN: Penduduk Rumah Panjang Kampung Pueh berharap kerajaan akan meluluskan dan memberi surat hak milik tanah tapak rumah panjang di kampung mereka dengan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pueh Iran Suut berkata, pemberian surat hak milik itu merupakan isu utama penduduk di rumah panjang berkenaan.

“Isu hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) adalah yang utama bagi kami di sini… kerajaan telah melaksana penyukatan tanah pada 2011.

“Program penyukatan ini adalah kerjasama Jabatan Tanah dan Survei bersama Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan dikatakan telah selesai.

“Maka itu kami amat berharap pemberian hak milik tanah ini dapat diberi segera kerana sehingga kini kami boleh dikatakan masih di ta- pak tanah kerajaan,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di sini, semalam.

Jelas Iran, adalah wajar bagi mereka mendapat surat hak milik itu kerana mereka telah mendiami rumah panjang itu sejak 1875.

Malahan ada beberapa kampung sekitar iaitu Kampung Temaga Melayu dan Kampung Temaga Dayak serta Kampung Bedaun telah mendapat surat hak milik mereka.

Selain itu kata beliau, penduduk kampung juga kini sedang memohon kepada kerajaan agar memperuntukkan tangki air besar kepada mereka.

“Kami di sini bukan sahaja penduduk rumah panjang tetapi rumah individu masih bergantung kepada air gunung atau sistem graviti.

“Masalah di sini apabila hujan lebat saluran akan tersumbat akibat kayu atau pasir, menjadikan bekalan kami terhalang,” katanya.

Iran menegaskan bagi men- gatasi masalah itu kerajaan harus menyediakan tangki air besar bagi menampung 282 pintu keluarga termasuk 20 pintu rumah panjang.

Pada masa yang sama penduduk rumah panjang yang dihuni kira- kira 50 orang khasnya kata beliau, memohon untuk penyelenggaraan pendawaian elektrik di rumah berkenaan.

“hampir 30 tahun pendawaian elektrik rumah panjang ini tidak diselenggara dan ditukar.

“Ia amat penting kerana ia amat membahayakan keselamatan penduduk daripada insiden kebakaran,” kata Iran sambil memberitahu, ia memakan kos yang tinggi.

Katanya begitu juga kemudahan infrastruktur jalan kampung, kebanyakan masih belum berturap khasnya dari jalan utama ke kediaman.

Beliau berkata dianggarkan 50 rumah yang juga berkelompok masih menggunakan jalan berbatu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.