Lelaki mengaku tidak bersalah tuduhan lakukan pecah rumah

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

MIRI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Miri kelmarin atas tuduhan melakukan pecah rumah dan curi.

Jacky Mike Rugu, 33, dari Kampung Trusan, Lawas dituduh melakukan pecah rumah dan curi dengan memecah masuk sebuah rumah dan mencuri satu unit kamera, dua pasang kasut berjenama, duit syiling berjumlah RM200 dan satu unit iPad kepunyaan Edwin Wordford.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama seorang lagi yang masih bebas jam 1.30 petang, pada 15 Disember 2011 di sebuah rumah di Jalan Foetida, Lutong Baru di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu pengurusan kes memandangkan tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan dibacakan terhadapnya.

Majistret Zuraini Ali Musa membenarkan permohonan itu dan menetapkan 22 November ini untuk pengurusan kes.

Manakala tertuduh diperintahkan supaya dibebas dengan jaminan RM3,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.