Abdul Rahim bersara wajib, 15 Mac 2018

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

MIRI: Setelah berkhidmat dalam Tentera Darat selama lebih 44 tahun, Asisten Panglima Pasukan Simpanan (APPS) Mejar Jeneral Datuk Pahlawan Abdul Rahim Abdul Mutalib bersara wajib pada 15 Mac 2018.

Sempena persaraan beliau, satu majlis perbarisan penghargaan diadakan di Padang Kawad Batalion 20 Rejimen Askar Melayu Diraja ( 20 RAMD), Kem Sri Miri di sini semalam.

Berucap pada majlis itu, Abdul Rahim berkata sepanjang berkhidmat selama lebih 44 tahun terlalu banyak kenangan pahit manis dilalui dan terus kekal menjadi kenangan dalam lipatan memorinya.

Menurutnya, ada dua kenangan atau cabaran tidak dapat dilupakannya iaitu pertama semasa bersama Kompeni C menjalankan operasi Ops Indera II di Raub, Pahang di mana mereka bertempur dengan pengganas komunis dan berjaya membunuh seorang pengganas lelaki di kawasan Sungai Chalit pada 27 September 1980.

Manakala cabaran kedua semasa menyertai Misi Pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu dan berkhidmat di Namibia dari 1989 hingga 1990.

“Itulah satu cabaran besar saya kerana kami di sana genap setahun bertugas membebaskan negara Namibia supaya mereka dapat mengundi dan memilih kerajaan kerana ketika itu kerajaan memerintah Namibia adalah dari Afrika Selatan yang mengamalkan Dasar Apartheid,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Panglima Tentera Darat dan Panglima Medan Timur kerana menganjurkan perbarisan penghargaan (persaraan) untuk beliau di sini.

Menurut Abdul Rahim, beliau memilih 20 RAMD sebagai tempat mengadakan perbarisan penghargaan baginya kerana 20 RAMD merupakan pasukan pertama beliau berkhidmat sebagai tentera.

“Pada awal perkhidmatan, saya berkhidmat selama lima tahun dan enam bulan di 20 RAMD dan sebab itu saya memilih pasukan ini mengadakan perbarisan sebagai memberi penghormatan terakhir kepada saya bersara tidak lama lagi,” katanya.

Hadir sama Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Wira Mohd Zaki Mokhtar dan isteri Datin Noraihan Ibrahim, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw serta isteri Datin Jacqueline Peris, Panglima Angkatan Petugas 450 Mejar Jeneral Datuk Zulkapri Rahamat dan isteri Datin Zubaidah Mohd Zaid serta Panglima 9 Briged Brigedier Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa dan isteri Datin Norziati Othman.

SIMBOLIK: Abdul Rahim dan isteri diarak keluar menggunakan kenderaan tentera ditarik menggunakan tali oleh anggota sebagai simbolik persaraan beliau dalam perkhidmatan tentera.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.