Empat remaja lelaki dicekup miliki dadah

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

SIBU: Empat remaja lelaki ditangkap polis kerana memiliki dadah dalam satu pemeriksaan di sebuah rumah di Lorong Permai Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zailanni Amit berkata kira-kira jam 4 petang Ahad lalu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) melakukan pemeriksaan mengejut ke sebuah rumah di lokasi terbabit.

Katanya terdapat empat remaja lelaki berusia antara 20 hingga 22 tahun berada dalam rumah tersebut semasa pemeriksaan.

“Satu peket lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dengan berat kasar 0.29 gram dijumpai dalam beg kecil warna hitam di atas lantai ruang tamu,” katanya.

Menurut Zailanni, hasil siasatan awal mendapati semua suspek mengakui dadah dirampas adalah kegunaan sendiri.

Semalam, keempat-empat suspek diperintah menjalani tahanan reman selama tiga hari.

Dalam kejadian berasingan, polis turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di sebuah rumah, Lorong Bukit Lima Timur di sini, Sabtu lalu.

Ini susulan penemuan tiga peket lutsinar masing-masing mengandungi pepejal kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 3.00 gram.

Zailanni berkata, semua peket dadah itu ditemui dalam bungkusan kertas digenggam suspek.

Suspek serta barang rampasan kemudian dibawa ke balai bagi membantu siasatan.

Katanya kedua- dua kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1992.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.