Pengedar dadah warga Thailand bersenjata api ditahan

Utusan Borneo (Sarawak) - - Nasional -

LANGKAWI: Polis merampas sepucuk pistol jenis Browning dan lima butir peluru daripada seorang warganegara Thailand yang disyaki pengedar dadah dalam serbuan di sebuah stesen minyak di sini, tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Dr Che Ghazali Che Awang berkata turut dirampas dipercayai dadah jenis heroin seberat 212 gram, syabu 87 gram dan ketamin 51 gram daripada lelaki berumur 35 tahun itu.

Beliau berkata dalam serbuan pada jam 12.01 tengah malam itu, suspek sedang mengisi minyak ke dalam se- buah kereta di stesen minyak berkenaan apabila anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di sini menghampirinya.

“Suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif namun berjaya diberkas dan senjata api itu ditemukan dalam beg sandang yang dibawanya,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata ujian saringan awal juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan polis akan memohon perintah mahkamah semalam untuk melanjutkan tahanannya bagi melengkapkan siasatan.

Che Ghazali berkata siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

“Bagi pemilikan senjata api, dia akan disiasat menerusi Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman hingga 14 tahun penjara dan enam kali sebatan,” katanya.

Maklumat awal mendapati suspek merancang mengedarkan dadah yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM25,000 itu di sekitar Langkawi sebelum dia diberkas. — Bernama

— Gambar Bernama

RAMPASAN: Che Ghazali (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan sepucuk pistol jenis Browning dan lima butir peluru yang dirampas daripada seorang warga Thailand yang disyaki pengedar dadah di Langkawi, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.