Utusan Borneo (Sarawak)

Wimbledon: Serena sentap Pliskova, gariskan status sebagai pilihan juara

-

LONDON, England: Serena Williams menggarisk­an status beliau sebagai pilihan juara apabila mudah menewaskan pemain kelayakan dari Rusia, Evgeniya Rodina sementara Karolina Pliskova menjadi pemain terbaharu dalam senarai 10 pilihan teratas kejohanan yang tersingkir dari kejohanan Isnin lepas.

Williams meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir yang ke-13 beliau di sini apabila menewaskan Rodina 6-2 dan 6-2.

Williams, yang memenangi kejuaraan di sini pada dua tahun berturut-turut pada 2015 dan 2016, sekarang memiliki rekod 18 kemenangan berturut-turut di Wimbledon.

Beliau tidak beraksi tahun lepas kerana hamil dan tahun ini, berada di landasan untuk memenangi kejuaraan Grand Slam buat kali pertama sebagai ibu.

Di suku akhir, beliau akan bertemu pemain dari Itali, Camila Giorgi, yang menewaskan Ekaterina Makarova dari Rusia 6-3 dan 6-4 untuk melangkah ke peringkat suku akhir perta- manya pada kejohanan Grand Slam.

Ditanya jika ia adalah aksi sempurna, Serena mengakui beliau tidak pernah berpuas hati.

“Saya seorang yang suka kesempurna­an. Saya sentiasa mencari sesuatu yang salah,” kata beliau.

“Ia adalah kemenangan yang bagus tetapi secara jujurnya ia lebih sukar dari keputusan yang anda lihat.”

Giorgi, 26, gagal melepasi pusingan ketiga pada setiap kejohanan Grand Slam disertainy­a sejak Terbuka AS pad 2013.

Tetapi beliau tidak menolak untuk melakukan satu kejutan ke atas Williams.

“Saya tidak begitu mengikuti perkembang­an tenis, atau tenis wanita tetapi saya fikir ia pastinya perlawanan hebat,” kata Giorgi.

Kemenangan perlawanan ke-90 Serena di Wimbledon meletakkan beliau antara pemain wanita paling aktif.

Beliau kini menjadi pilihan utama untuk memenangi kejohanan selepas pencabar terkuat seperti Garbine Muguruza, Maria Sharapova, Simona Halep, Petra Kvitova, kakaknya Venus, Caroline Wozniacki dan Sloane Stephens tersingkir dari kejohanan.

Pada perlawanan lain, Kiki Bertens menamatkan senarai terakhir dalam 10 pemain pilihan teratas kejohanan yang tersingkir dari kejohanan apabila menewaskan pilihan ketujuh, Pliskova 6-3 dan 7-6(7/1).

Ia adalah kali pertama dalam sejarah Wimbledon di mana tiada pemain dalam 10 pilihan teratas wanita yang melangkah ke suku akhir.

Bertens, yang ada menyuaraka­n mahu bersara dari tenis tahun lepas setelah hilang minat dalam sukan ini, menjadi pemain wanita Belanda pertama melangkah ke peringkat suku akhir Wimbledon sejak Michaella Krajicek pada 2007.

Di suku akhir, beliau akan menentang pilihan ke-13 dari Jerman, Julia Goerges, yang menewaskan Donna Vekic dari Croatia 6-3 dan 6-2 untuk melangkah ke peringkat suku akhir pertama kejohanan Grand Slam dalam 42 penampilan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia