Utusan Borneo (Sarawak)

Bangkit bergaya sebelum menewaskan Giorgi 3-6, 6-3 dan 6-4, di landasan buru kejuaraan ke-10

-

LONDON, England: Serena Williams terselamat dari penyingkir­an apabila mengesahka­n penampilan ke- 11 di peringkat separuh akhir kejohanan Wimbledon sementara Angelique Kerber kekal sebagai pencabar utama beliau untuk muncul juara selepas turut melangkah ke separuh akhir Selasa lepas.

Williams diambang penyingkir­an mengejut di suku akhir selepas pemain ranking ke-59 dunia, Camila Giorgi menjadi pemain pertama yang menang satu set ke atas Williams di sini tahun ini.

Tetapi Serena enggan mengalah dan bangkit bergaya untuk menang 36, 6-3 dan 6-4 dan kekal di landasan memburu kejuaraan ke lapan di sini.

Ia adalah kemenangan ke-100 Serena di sini.

Pemain berusia 36 tahun dari Amerika Syarikat (AS) itu akan menentang pilihan ke-13 dari Jerman, Julian Goerges di separuh akhir.

“Saya tahu selepas set pertama ‘tidak mengapa, kita akan bermain dalam tiga set’. Saya hanya terus berusaha,” kata Williams.

“Ini hanya kejohanan keempat saya, jadi saya tidak berasa tertekan, saya tidak merasakan saya perlu menang. Saya masih jauh dari prestasi yang saya mahukan.”

Serena menjadi pemain wanita pertama melangkah ke separuh akhir satu kejohanan Grand Slam tanpa bertemu dengan pemain dalam ranking 40 teratas dunia sejak 2013.

Beliau juga beraksi di peringkat separuh akhir yang ke-35 pada kejohanan Grand Slam dan yang pertama sejak muncul juara di Terbuka Australia tahun lepas.

Selepas tidak beraksi di sini tahun lepas kerana hamil, beliau menghampir­i final ke-10 di Wimbledon.

Laluan beliau untuk menang kelihatan terbuka luas pada awal kejohanan selepas barisan bintang terkenal seperti Garbine Muguruza, Maria Sharapova, Simona Halep, Petra Kvitova, Venus Williams, Caroline Wozniacki dan Sloane Stephens tersingkir awal.

Goerges melangkah ke separuh akhir pertama beliau di sini selepas menewaskan pilihan ke-20 dari Belanda, Kiki Bertens 3-6, 7-5 dan 6-1.

“Ia satu peluang yang hebat untuk bertemu Serena di sini, di mana beliau sudah muncul juara banyak kali. Saya fikir semua orang di sini mempunyai peluang, jadi anda harus mengambiln­ya,” kata Goerges.

Dengan Kerber juga ke separuh akhir, ia adalah kali pertama di mana dua pemain dari Jerman melangkah ke peringkat separuh akhir satu kejohanan Grand Slam sejak Steffi Graf dan Anke Huber di Terbuka Perancis 1993.

Ia juga meletakkan Kerber, pilihan ke-11 kejohanan sebagai pemain pilihan tertinggi yang masih bersaing.

Di separuh akhir, Kerber akan menentang Jelena Ostapenko dari Latvia.

Kerber menewaskan pilihan ke-14 dari Rusia, Daria Kasatkina 6-3 dan 75 untuk penampilan ketiga di peringkat separuh akhir di sini.

Ostapenko menjadi pemain wanita Latvia pertama melangkah ke separuh akhir Wimbledon selepas menewaskan Dominika Cibulkova 7-5 dan 6-4.

Empat tahun yang lalu, Ostapenko muncul juara remaja Wimbledon dan kini merupakan pemain perseorang­an wanita paling muda yang masih bersaing.

Beliau juga belum tewas satu set dari lima perlawanan pertama di sini. — AFP

 ?? — Gambar AFP ?? SATU KELEGAAN: Serena ceria selepas berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir kejohanan Wimbledon di London, England kelmarin.
— Gambar AFP SATU KELEGAAN: Serena ceria selepas berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir kejohanan Wimbledon di London, England kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia