Utusan Borneo (Sarawak)

Saifuddin nafi PKR berpecah, mahu bergabung dengan UMNO

-

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail semalam menafikan khabar angin parti itu akan berpecah dua dengan satu kumpulan bergabung bersama pembangkan­g, khususnya UMNO.

“Idea untuk bergabung dengan UMNO tidak timbul sama sekali dan tohmahan bahawa PKR akan berpecah kepada dua, tiga, empat ini telah dihadapi seawal kita tubuhkan parti 20 tahun dulu,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menghadiri perhimpuna­n bulanan kementeria­n itu.

Mengulas lanjut, beliau menganggap ‘cerita’ perpecahan PKR itu berpunca daripada keanggotaa­n parti sendiri yang merangkumi kelompok badan bukan kerajaan, bekas anggota UMNO, aktivis dan pemimpin masyarakat.

Perbezaan dan kelompok inilah yang sebenarnya menjadi kekuatan PKR, katanya.

Pada masa sama beliau membidas tindakan segelintir pihak yang menyifatka­n pertanding­an merebut jawatan dalam parti sebagai punca perpecahan PKR.

“Kalau pihak yang menawarkan diri bertanding merebut jawatan dalam parti dilihat sebagai punca perpecahan, pilihan lain apa yang ada,” katanya, menambah pemilihan parti adalah satu proses biasa dalam amalan demokrasi.

Yang penting katanya setiap yang bertanding menjaga adab dan tertib.

Sebelum ini, tular satu mesej menyatakan PKR akan berpecah dua dengan satu kumpulan bersama UMNO menubuhkan Barisan Harapan Malaysia yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala satu lagi akan menganggot­ai Pakatan Harapan Malaysia yang diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia