Hujan renyai-renyai tidak menghalang kira-kira 10,000 penduduk banjiri Dataran Bandar Sibu ikuti acara bersejarah

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan - Oleh Borhaniza Ali Basah

SIBU: Kira-kira 10,000 membanjiri Dataran Bandar Sibu untuk menyaksikan Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena dengan Sambutan Perayaan Hari Lahir Yang Ke-82 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, semalam.

Hujan renyai-renyai tidak menghalang orang ramai untuk duduk di tepi jalan dan sekitar kawasan Dataran Bandar Sibu bagi menyaksikan majlis penuh bersejarah itu.

Tun Taib serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib yang tiba sekitar jam 8 pagi disambut oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta isteri Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang dan dif-dif kenamaan yang lain.

Ketibaan Tun Taib turut diiringi dengan beberapa das tem- bakan meriam serta lintas hormat tiga unit helikopter Nuri.

Tun Taib kemudian menerima Tabik Hormat Diraja daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama, disusuli Lagu Ibu Pertiwiku.

Kawalan Kehormat Utama dengan kekuatan anggota seramai tiga pegawai dan 100 lain-lain pangkat dari Batalion Ke20 Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Ahmad Faiz Ghazali.

Tun Taib kemudian melakukan pemeriksaan perbarisan pasukan kontinjen yang mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

Sebanyak 121 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan tahun ini terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta.

Majlis diteruskan dengan upacara memotong kek hari jadi sambil diiringi teriakan ‘Dirgahayu’ yang berkumandang di Dataran Bandar Sibu sebelum acara perbarisan dimulakan.

Acara perbarisan diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke10 Rejimen Sempadan Leftenan Kolonel Mohd Azli Sulaiman.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan tarian daripada 800 pelajar yang menyanyikan lagu patriotik, persembahan nyanyian dari bintang kecil dan pelbagai persembahan menarik lain.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kewangan Kedua yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Dato Sri Wong Soon Koh, Setiausaha Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

PERIKSA: Tun Taib memeriksa Pasukan Kawalan Kehormat Utama.

SELAMAT ULANG TAHUN: Tun Taib (tengah) memotong kek sambil diperhatikan oleh Ragad (tiga kanan), Abang Johari (tiga kiri), (dari kiri) Uggah, Wong, Juma’ani (dua kanan) dan Datin Sri Pauline Leong (kanan).

UNIT UDARA: Lintas hormat oleh tiga unit helikopter Nuri bagi menyambut ketibaan Tun Taib.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.