PH jangan beri pelbagai alasan elak tunai janji: Idris

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

KUCHING: Jangan beri pelbagai alasan untuk mengelak daripada menunaikan janji dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, tegas Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang kepada kerajaan persekutuan yang terajui Pakatan Harapan (PH).

Beliau memberitahu, rakyat sudah memilih PH untuk menerajui kerajaan persekutuan dan ia adalah amanah yang harus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

“Untuk apa bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) jika tidak berniat untuk tubuh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang berkata, kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Manifesto PH seperti pemansuhan tol seolah-olah hanya untuk memperdayakan rakyat semata-mata.

“Kalau benar perkara ini, Tun Mahathir harus mendesak PH menyerahkan balik kuasa kepada rakyat secara jujur dan terhormat,” ujarnya.

Tambahnya, PH tidak layak memegang amanah rakyat jika janji-janji yang diberikan tidak dapat dilaksanakan.

“Sepatutnya bila sudah jadi kerajaan, maka sebab rakyat memilih mereka itulah seharusnya dilaksanakan secara tuntas tanpa memberi alasan demi alasan bagi mengelak daripada tanggungjawab sebagai kerajaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.