Rebut peluang raih keuntungan tetapi jangan naik harga sesuka hati

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan - Oleh Mohamad Achil Norrlatep

MUKAH: Para peniaga di sekitar Mukah diingatkan untuk tidak menaikkan harga makanan serta minuman sepanjang berlangsungnya Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) Peringkat Negeri Sarawak dari 16 hingga 19 Oktober ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, setiap harga harus sama seperti hari kebiasaan.

“Tolong jangan naikkan harga makanan dan minuman sepanjang PSKPP di Mukah nanti,” katanya kepada Utusan Borneo.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan peniaga sekitar bandar ini terutamanya yang terlibat dalam perniagaan makanan serta minuman.

Menurut Abdul Yakub, para peniaga harus merebut peluang ini untuk mengambil keuntungan namun bukanlah dengan menaikkan harga sesuka hati.

Para peniaga juga selain berniaga dengan jujur turut dinasihati melanjutkan operasi perniagaan mereka serta menambah jumlah makanan dan minuman yang dijual berbanding hari biasa.

Difahamkan, seramai 4,797 warga pendidik bakal menyertai PSKPP Ke-38 pada kali ini di Mukah.

Sebanyak 26 acara sukan serta kebudayaan akan dipertandingkan dan penyertaan adalah mengikut bahagian masing-masing.

ABDUL YAKUB

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.