GPS disaran atasi isu kerusi Batu Danau sebelum PRN

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

LIMBANG: Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan kemelut berhubung kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Parti Demokratik Progresif ( PDP) Batu Danau Kaunselor Andrew Tukau berkata, isu kerusi DUN Batu Danau yang menjadi milik PDP sebelum ini wajar diselesaikan segera.

Ibu Pejabat PDP Negeri katanya, perlu membuat keputusan mengenai kedudukan kerusi itu sekali gus mengembalikannya kepada parti tersebut.

“Pada masa sama, kami meletakkan kepercayaan kepada GPS untuk mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan kemelut kerusi terbabit yang dihadapi sejak sekian lama,” ujarnya pada Mesyuarat Agung Tritahunan Bahagian PDP N.80 Batu Danau di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Alexender Asing, Timbalan Pengerusi Kaunselor John Wong, Ketua Pemuda PDP Batu Danau Kaunselor Daniel Taha, Ketua Wanita Lim Goon Tee serta ahli jawatankuasa tertinggi parti itu.

Andrew berkata, PDP Batu Danau turut bersetuju dengan pucuk pimpinan parti untuk menyertai GPS sekali gus mengembalikan kesemua kerusi asal dan dua lagi kerusi baharu milik PDP di negeri ini.

“PDP juga akan mewujudkan perkongsian kuasa politik, pembangunan, pengurusandan pentadbiran negeri membabitkan ketua masyarakat, ketua kampung, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) , sektor awam dan projek luar bandar.

“Pada masa sama PDP Batu Danau juga berhak memilih dan mencalonkan calon tanpa campur tangan daripada parti lain,” ujarnya lagi.

Kerusi Batu Danau secara tradisinya milik Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sebelum ditukar kepada nama baharunya, PDP.

Namun pada PRN 2016, Batu Danau diberikan kepada calon langsung Barisan Nasional (BN) dari Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) iaitu Paulus Palu Gumbang sebelum beliau memilih untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

TERAS ditubuhkan oleh bekas pemimpin SPDP yang keluar daripada parti itu berikutan pertikaian terhadap kepimpinan dalaman.

Pada pemilihan itu, beliau turut mengemukakan resolusi untuk mengukuhkan keberkesanan pucuk pimpinan parti dengan mencadangkan Dato Henry Harry Jinep sebagai Timbalan Presiden dan Datu Dr Penguang Manggil sebagai Setiausaha Agung.

Beliau juga mahu Ibu Pejabat PDP Negeri untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada bahagian dalam melaksanakan program dan aktiviti politik serta mahu isu mengambil alih parti oleh komponen lain secara ugutan dan paksaan yang masih berlaku diselesaikan dengan meminta Ibu Pejabat PDP Negeri untuk membawa kes kepada GPS untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, Alexender mahu PDP terus menjalin kerjasama utuh dengan parti komponen di bawah GPS dan setiap jawatankuasa baharu yang dilantik menjalankan amanah dan tugas sebaiknya.

Pada mesyuarat itu, Andrew dilantik sebagai Pengerusi PDP Batu Danau yang baharu bagi penggal 2018/2020 selepas mengalahkan calon Jostly Umpi dengan 30 undian berbanding 14.

Manakala, Kaunselor John Wong dipilih sebagai Timbalan Pengerusi dan Clerence Ringgit sebagai Naib Pengerusi Dua tanpa pencabar.

Lima jawatankuasa turut dipertandingkan dengan memilih Tuai Rumah (TR) Jampong, TR Banta, Adenan Belandui, Cleopatra Yusong serta Samai Jamal.

Sementara itu jawatan bagi Setiausaha, Naib Pengerusi Dua dan Tiga, Bendahari dan Penerangan tidak dipertandingkan.

Pada mesyuarat itu, PDP Batu Danau turut memilih empat delegasi dan empat pemerhati untuk hadir pada Mesyuarat Agung Tri Tahunan PDP Peringkat Negeri di Bintulu, November depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.