Teman lelaki tanam bayi kekasih ditahan

Utusan Borneo (Sarawak) - - Nasional -

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki yang dipercayai menanam mayat bayi lelaki yang baharu dilahirkan teman wanitanya awal pagi kelmarin, menyerah diri kepada polis di Balai Polis Bukit Mertajam, di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berusia 23 tahun itu pada mulanya melarikan diri selepas dia menghantar teman wanitanya ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) berikutan wanita berkenaan mengalami pendarahan selepas bersalin.

“Polis melancarkan gerakan mengesan lelaki itu, namun tidak menemuinya sebelum dia datang ke Balai Polis Bukit Mertajam untuk menyerah diri kira-kira jam 10.30 malam tadi (kelmarin). Ekoran penahanan lelaki itu, polis membawanya ke tanah perkuburan di Bagan Dalam, Butterworth untuk mencari mayat bayi teman wanitanya yang ditanam di situ, namun tidak menemuinya,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata lelaki itu mendakwa dia tidak ingat lokasi sebenar mayat bayi berkenaan ditanam di tanah perkuburan itu kerana dia dalam keadaan panik dan persekitaran di situ gelap.

Katanya sepasukan polis bersama bahagian forensik mengambil masa lebih lima jam hingga awal pagi semalam untuk mencari lokasi sebenar mayat bayi itu ditanam, bagaimanapun tidak berjaya dan usaha tersebut diteruskan semalam.

Nik Ros Azhan berkata lelaki itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Kelmarin, seorang wanita dilapor melahirkan bayi di rumah teman lelakinya di Kampung Pertama, Permatang Pauh di sini namun bayi yang dikatakan telah meninggal dunia itu dilaporkan ditanam lelaki berkenaan di kawasan tanah perkuburan di Bagan Dalam.

Berdasarkan siasatan, wan- ita itu mendakwa dia melahirkan bayi lelaki yang cukup sifat itu ketika kandungannya berusia lima hingga enam bulan awal pagi kelmarin, dan bayi itu dikatakan telah meninggal dunia.

Pasangan yang bekerja di sebuah hotel di George Town itu kemudian dikatakan membalut bayi berkenaan dengan kain pelekat sebelum menaiki motosikal ke tanah perkuburan di Bagan Dalam untuk menanamnya.

Doktor yang merawat wanita berusia 22 tahun itu mengesahkan terdapat kesan luka bersalin dan rahimnya juga kembang kesan daripada bersalin dan dia masih menerima rawatan lanjut di HSJ. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.