Lelaki ditangkap ketika menceroboh masuk rumah pegawai polis
KUCHING: Seorang lelaki berputih mata apabila ditangkap ketika menceroboh masuk rumah milik seorang pegawai polis di Taman Sourabaya Indah, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata suspek berusia 22 tahun dan kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 3.30 pagi.
Menurutnya, kejadian disedari sendiri pegawai polis terbabit yang terjaga dari tidur selepas mendengar bunyi mencurigakan dari arah pintu utama rumahnya.
“Dia kemudian bangun dan terkejut apabila mendapati suspek sudah masuk ke dalam rumahnya.
“Bertindak pantas, pegawai polis terbabit terus menangkap suspek dan seterusnya dihantar ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di mana turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
“Selain itu, suspek turut didapati mempunyai tiga rekod jenayah lampau,” katanya.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dan denda jika disabitkan kesalahan.
“Justeru, kita menyeru masyarakat agar terus bekerjasama dengan polis dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah dengan menghubungi 082-244444 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.