Lapan PATI cuba menyelinap masuk ke Sarawak diusir
KUCHING: Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir setelah didapati cuba menyelinap masuk ke negeri ini dalam tempoh dua minggu.
Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen, Tentera Darat Malaysia (TDM) berkata pada Isnin lepas, empat PATI diusir keluar selepas ditahan di sekitar sempadan di Tebedu, Serian kira-kira jam 9.30 malam.
“Anggota TDM sedang melaksanakan rondaan keselamatan sempadan di lorong-lorong tikus di sekitar sempadan sektor Tebedu dan berjaya mengesan empat
PATI yang sedang berusaha masuk ke Sarawak.
“Hasil siasatan mendapati mereka berasal dari Entikong dan ingin ke Sarawak untuk bekerja,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Manakala pada 7 November, TDM turut mengusir keluar empat PATI cuba menyelinap masuk dari Entikong.
“Cubaan memasuki Sarawak secara haram pada lewat malam atau awal pagi tidak berhasil berikutan kawalan sempadan yang ketat dan tindakan pantas pasukan keselamatan.
Kawalan diperketatkan lagi di sempadan Sarawak-Kalimantan Barat terutama di laluan-laluan tikus di bawah ‘Ops Benteng’ bagi mengekang penularan COVID-19.
“Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat akan sentiasa mengawal kendaulatan sempadan negara tanpa kompromi dan mengira batasan waktu. TDM terutama pasukan Sarawak sentiasa komited, fokus dan mempunyai tahap kesiapsiagaan yang tinggi pada bilabila masa,” katanya.