Sarawak merekodkan satu kes positif baharu COVID-19
KUCHING: Sarawak merekodkan satu kes positif baharu COVID-19 semalam, melibatkan seorang wanita warganegara tempatan yang bekerja sebagai ejen jualan peralatan komunikasi di sini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, dengan pertambahan satu kes COVID-19 itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Sarawak meningkat kepada 1,056 kes.
“Kes ke-1,056 merupakan seorang wanita warganegara tempatan yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan saringan COVID-19 kerana mengalami batuk, demam, pening kepala dan hilang deria bau.
“Kes didapati positif COVID-19 pada 23 November 2020 setelah membuat saringan di sebuah hospital swasta di bandar raya ini pada hari yang sama,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan semalam.
Menurut JPBNS, kes bekerja di sebuah pusat belibelah di bandar raya Kuching sebagai ejen jualan peralatan komunikasi.
Wanita itu katanya, tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau mengunjungi kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 di luar Sarawak.
“Kes juga tidak mempunyai kontak secara langsung kepada mana-mana kes positif COVID-19 yang telah dikenal pasti dan dilaporkan sebelum ini.
“Kes ini mula mengalami tanda dan gejala jangkitan COVID-19 pada 10 November 2020 dan telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Tambahnya, kes masih dalam siasatan lanjut dan aktiviti pengesanan semua kontak rapat serumah, di tempat kerja dan kontak sosial kepada wanita itu sedang giat dijalankan.
“Kes dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan,” katanya.
JPBNS memberitahu, terdapat enam kluster masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Baki, Kluster Jalan Abell, Kluster Besi, Kluster Seladah, Kluster Greenhill dan Kluster Wisma Saberkas dengan kesemuanya di Kuching.
“Dimaklumkan juga, 10 kes baharu telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini melibatkan lapan kes dari HUS dan dua dari Hospital Miri.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini adalah seramai 992 orang atau 93.94 peratus daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak,” jelas JPBNS.
Sementara itu daerah Kuching katanya, masih berstatus Merah dengan 50 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas.
Dua daerah iaitu Miri dan Lawas masih berstatus Kuning manakala lain-lain daerah berstatus Hijau.