Lelaki Slovenia sembunyikan mayat ibunya, ambil wang pencen
LJUBLJANA: Seorang lelaki Slovenia berusia 67 tahun telah menyembunyikan mayat ibunya di dalam apartmennya selama beberapa tahun ketika mengambil wang pencennya dengan mendakwa beliau masih hidup, kata polis dan medik kelmarin.
Jabatan Polis Ljubljana berkata, ia melancarkan siasatan selepas saudara-mara wanita berusia 97 tahun itu melaporkan kehilangannya dan mendakwa seorang saudara rapat yang kononnya menjaga beliau tidak membenarkan mereka melawat atau menemuinya.
“Anggota polis menemui mayat wanita itu di sebuah apartmen di Ljubljana... kematiannya dianggarkan berlaku beberapa tahun lepas,” jurucakap polis, Tomaz Tomazevic, memberitahu televisyen awam.
Beliau menambah, punca kematian wanita itu masih belum dipastikan.
Lelaki yang dituduh menyembunyikan mayat ketika mengambil wang pencennya adalah anak lelakinya, menurut laporan televisyen awam.
Dia didakwa telah memberi jaminan kepada ahli keluarga lain bahawa wanita itu masih hidup tetapi enggan berjumpa dengan mereka.
Dia dikatakan menggunakan satu surat kebenaran yang ditandatangani oleh ibunya untuk terus mengambil wang pencennya.
Laman berita persendirian 24ur berkata wanita itu sudah meninggal dunia selama enam tahun, sementara televisyen awam melaporkan saudara-maranya telah melihatnya buat kali terakhir pada 2011.
Tomazevic berkata, suspek ditahan atas tuduhan penipuan, pencabulan dan pembunuhan secara tidak sengaja ketika satu siasatan sedang dilakukan. — AFP