Lebih 90,000 pekerja carum SIP diberhentikan kerja setakat 13 Nov
KUALA LUMPUR: Sejumlah 95,995 pekerja yang mencarum di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), diberhentikan kerja setakat 13 November lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata daripada jumlah itu 40,766 adalah dalam kalangan mereka yang terlibat dengan sektor penerbangan, perhotelan dan pelancongan.
“Sehingga kini, RM110 juta telah diluluskan untuk pembayaran kepada pemohon SIP daripada sektor itu… jika terdapat sebarang kes kegagalan pembayaran SIP, sila berjumpa terus dengan saya supaya tindakan sewajarnya boleh diambil,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang
Perbekalan 2021.
Sementara itu, Saravanan berkata kerajaan menyasarkan 500,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan dalam usaha kerajaan mengatasi pengangguran melalui Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) seperti yang dicadangkan dalam Belanjawan 2021 dengan peruntukan sebanyak RM3.7 bilion.
“Tiga inisiatif di bawah Skim JanaKerja telah dirancang yang mana dua inisiatif telah dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Sumber Manusia, iaitu Insentif Penjana Kerjaya di bawah Perkeso; dan Program Reskilling dan Upskilling di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan lain-lain kementerian,” katanya. — Bernama