Penganggur ancam bakar flat, potong getah paip tong gas di dapur

Berita Harian - - BERITA -

SEORANG penganggur mengancam membakar rumahnya dan terus memotong getah paip tong gas LPG di dapur, demikian mahkamah masyarakat diberitahu.

Atas kedua-dua kesalahan itu, Khairudin Mohamed, 39 tahun, dikenakan hukuman penjara selama 15 bulan semalam.

Dia mengaku bersalah bertindak terburu-buru sehingga membahayakan keselamatan orang lain dan melakukan ugutan jenayah di rumahnya di Tampines Avenue 4 pada 27 Januari lalu.

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa, Cik Safiah Che’mat Aliman, 67 tahun, berada di flat itu pada 10 pagi hari tersebut apabila anaknya, Khairudin, pulang ke rumah dan meminta wang daripadanya.

Beliau memberinya $40 tetapi dia menjadi marah dan meminta wang lebih.

Cik Safiah berkata beliau tidak mempunyai wang lebih dan meninggalkan flat itu.

Sekitar 1 petang, Cik Safiah menerima panggilan telefon daripada teman wanita anaknya. Teman anaknya itu meletakkan telefon apabila diberitahu bahawa Khairudin tiada di rumah.

Apabila Khairudin pulang ke rumah sejam kemudian, Cik Safiah memberitahunya bahawa teman wanitanya telah menelefonnya. Khairudin tiba-tiba menjadi marah.

Dia mengancam membakar rumah itu, dan lantas ke dapur memotong paip getah gas LPG yang membekalkan gas ke dapur masak.

Dia kemudian membawa tong gas dengan paip getahnya sudah dipotong kepada ibunya dan berkata:

“Kau ingat aku main-main. Kali ini, betul.”

Khairudin mengeluarkan kata-kata itu dengan tujuan mahu menimbulkan rasa cemas pada ibunya, yang menjadi takut.

Tertuduh kemudian masuk ke bilik tidurnya dengan tong gas itu manakala Cik Safiah menelefon polis sebelum meninggalkan flat tersebut.

Polis kemudian memberkas Khairudin. Siasatan lanjut mendapati bahawa Cik Safiah mempunyai perintah perlindungan peribadi terhadap Khairudin, yang melarangnya menggunakan kekerasan terhadap ibunya itu. Perintah itu dikeluarkan pada 25 April 2007.

Tiga tuduhan lain diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Peguam Khairudin, Encik Low Jianhui, berkata kliennya itu mempunyai sejarah kemurungan. Dia telah didiagnosis dengan masalah kemurungan dan kecelaruan personaliti antisosial sekitar 10 tahun yang lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.