Hari bersejarah, tetapi perjalanan belum berakhir

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

SEKITAR 9 pagi semalam, Puan Halimah Yacob memulakan hari bersejarah yang akan menyaksikan beliau diisytihar sebagai Bakal Presiden dengan menjejak keluar dari flat HDB beliau di Yishun.

Flat jumbo (dua dalam satu) itulah tempat tinggal beliau sekeluarga sejak lebih tiga dekad lalu, termasuk sepanjang kerjaya politik beliau selama 16 tahun.

Puan Halimah, yang mengenakan blaus berwarna jingga dan seluar hitam, bersama suami, Encik Mohammed Abdullah Alhabshee, juga berbaju jingga. Mereka melambai ke arah kamera dan wartawan yang menunggu di bawah blok.

Dengan sebuah kereta hitam, mereka dibawa ke Pusat NTUC di Marina Boulevard untuk menemui pasukan Puan Halimah termasuk anggota kesatuan.

Sementara itu, penyokong lain mula berkumpul di luar ibu pejabat Persatuan Rakyat (PA) di King’s George Avenue yang dijadikan Pusat Penamaan Calon. Ada yang datang seawal 7.30 pagi.

Tidak kira kaum dan agama, mereka datang dengan baju serba jingga – warna perpaduan. Mereka membawa sepanduk, payung dan wisel, bersedia bersorak untuk Puan Halimah.

Pada 11 pagi, Puan Halimah dan pasukannya beredar dari Pusat NTUC menuju ke ibu pejabat PA. Sekitar 15 minit kemudian, beliau dan pasukannya tiba di ibu pejabat PA dalam empat van mini.

Kehadiran Puan Halimah di pusat itu disambut sorakan penyokong yang sudah pun berkumpul di padang ibu pejabat PA.

Penyokong dan anggota media berdiri di bawah panas terik matahari yang tegak di atas kepala bagi mendapatkan tempat terbaik di depan pentas. Puan Halimah dan pasukannya pula menuju masuk ke Pusat Penamaan Calon.

Hanya beberapa minit kemudian pada sekitar 11.35 pagi, beberapa pegawai meletakkan kertas penamaan calon di atas papan tanda.

Pada 12 tengah hari, Pegawai Pilihan Raya, Encik Ng Wai Choong, naik ke pentas untuk mengisytiharkan Puan Halimah sebagai Bakal Presiden. Penyokong bersorak kegembiraan.

Dalam ucapan kemenangannya, Puan Halimah akur ada yang mungkin sangsi tentang Pilihan Raya Presiden yang dikhaskan untuk kaum Melayu itu. Beliau menekankan beliau Presiden untuk semua warga Singapura, tidak kira kaum, bahasa, agama atau fahaman.

Mana-mana kaum, lelaki atau wanita, boleh ke tahap tinggi jika diberi peluang dan sokongan, katanya.

Puan Halimah tidak menafikan berdirinya beliau di pentas itu sebagai bakal Presiden wanita pertama di Singapura, dan Presiden Melayu kedua selepas Encik Yusof Ishak, adalah hasil sokongan pelbagai pihak.

Malah, ini termasuk sistem yang memastikan adanya perwakilan minoriti dalam jawatan tertinggi negara itu.

Pencapaian bersejarah Puan Halimah sewajarnya diraikan kerana beliau sememangnya layak. Pencapaian itu menandakan satu lagi siling kaca yang ditembusinya sepanjang kerjaya yang luar biasa.

Berdirinya Puan Halimah di atas pentas itu sebagai wanita Melayu/Islam bertudung sewajarnya memberi harapan dan inspirasi kepada semua. Namun, perjalanan bagi Singapura dan masyarakat Melayu belum lagi berakhir.

Moga pencapaian itu akan memberi semangat kepada ramai lagi yang layak agar tampil menyumbang kepada negara dengan cemerlang.

Moga satu hari nanti negara ini tidak memerlukan lagi Pilihan Raya Presiden khas untuk mana-mana kaum pun.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.