Bantu Bakal Presiden capai hasrat bakti pada rakyat dan negara

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

NIAT murni mengukuhkan semula peranan Presiden Singapura sebagai lambang perpaduan rakyat pelbagai kaum negara ini, di samping peranan penjagaan rizab negara dan pelantikan jawatan awam utama, telah tercapai dengan Puan Halimah Yacob menjadi presiden kelapan.

Ia detik bersejarah dan membanggakan bukan bagi orang Melayu/Islam sahaja, bahkan semua rakyat Singapura.

Hakikat Puan Halimah memegang jawatan paling tinggi Singapura bahkan baik buat negara ini pada kaca mata dunia.

Sedang konflik kaum dan agama terus bergolak di beberapa bahagian dunia, Singapura terus menunjukkan pendekatan betul dalam menguruskan hubungan kaum dan hubungan antara kaum majoriti dan minoriti.

Ini termasuk bersungguh-sungguh memastikan kaum minoriti terus dijaga dan hak mereka, termasuk peluang memegang jawatan tertinggi, dipelihara.

Puan Halimah menyandang jawatan itu tanpa perlu bertanding. Ini kerana dua tokoh lain yang ingin bertanding tidak memenuhi syarat kelayakan untuk bertanding. Sedang ada hujah berasa perlu ada pertandingan demi mandat, ada berpendapat usah adakan pertandingan demi pertandingan semata-mata jika yang hendak bertanding tidak layak.

Malah, ada yang kurang senang tentang pilihan raya presiden (EP) yang diperuntukkan. Pandangan-pandangan berbeza ini dapat difahami.

In bukan kali pertama tiada pertandingan sejak sistem EP diperkenal. Mendiang Encik S R Nathan menjadi Presiden tanpa bertanding bagi dua penggal, dan beliau terbukti seorang Presiden baik bagi rakyat dan negara Singapura. Begitu juga ketua negara pertama, Allahyarham Encik Yusof Ishak, dilantik menyandang jawatan presiden dan beliau menjadi seorang presiden cemerlang.

Namun, dalam melahirkan ketidaksetujuan mengenai cara Puan Halimah mendapat jawatan Presiden, setiap orang harus mengelakkan sikap melampau seperti perkauman dan kata-kata yang melanggar tatasusila kesopanan.

Sedang menzahirkan ketidaksetujuan adalah hak individu, kata-kata biadab mencabuli hak orang lain menikmati keharmonian dan penghormatan.

Apatah lagi Puan Halimah tidak boleh dipersalahkan bagi ketiadaan pertandingan.

Jika Puan Halimah boleh dipersalahkan bagi keadaan itu, ia adalah kerana satu sebab sahaja – beliau lebih daripada layak menjadi presiden hingga ramai berasa pertandingan tidak perlu jika ia setakat untuk keabsahan sahaja.

Jawatan Presiden bukan sesuatu yang didambakan Puan Halimah. Lebih daripada orang lain, beliau sedar ia satu tugas berat dan amanah besar.

Beliau juga selesa dengan peranan baik dan berkesan yang beliau mainkan sepanjang menjadi Anggota Parlimen (AP) dan Speaker.

Ini sebagaimana dipaparkannya semasa menjadi AP GRC Jurong dan GRC Marsiling-Yew Tee. Beliau begitu popular dalam kalangan penduduk di kawasan undi yang pernah beliau wakili.

Puan Halimah juga mesra dengan jiranjirannya, termasuk pegerai, di kejiranan HDB tempat tinggal beliau di Yishun.

Sebaliknya, beliau didorong semangat hendak melakukan lebih banyak buat warga senegara dan negara.

Yang menariknya ialah, mereka yang menginginkan pertandingan sekalipun tidak menafikan bahawa Puan Halimah seorang wakil rakyat yang sangat berkebolehan dan baik dan beliau sangat layak serta boleh menjadi Presiden yang baik.

Masyarakat Melayu juga harus menyambut baik bahawa dua tokoh lain – Encik Mohamed Salleh Marican dan Encik Encik Farid Khan – bersedia tampil menawarkan diri bertanding, namun tidak memenuhi kriteria kelayakan.

Ini menunjukkan kesediaan mereka berbakti walaupun terpaksa melalui proses yang ditetapkan dan mendapat perhatian, baik positif mahupun negatif. Tidak mudah bagi sembarang orang menempuhi perjuangan itu, namun mereka tetap tabah, walau apa jua kesudahannya.

Kedua-duanya juga menunjukkan perilaku terhormat dan memahami proses yang ditetapkan bagi memegang jawatan presiden.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.