Jejak berpandu bahasa Melayu teroka hidupan Sungei Buloh

Berita Harian - - GAH! - NURMAYA ALIAS

SEJAK menuntut di Sekolah Menengah Kranji, Encik Muhammad Nazirulmubin Abdul Moomen, 17 tahun, kerap menjelajahi Paya Simpanan Sungei Buloh.

Beliau suka mempelajari perihal pemuliharaan alam sekitar bersama rakan. Gurunya Cik Normala Alias, 51 tahun, pula giat membawa mereka ke sana.

Encik Nazirulmubin, bekas anggota kegiatan korikulum Kelab Alam Sekitar, kemudian mengunjungi paya simpanan itu sendiri, terutama semasa musim penghijrahan pelbagai spesis burung sekitar September hingga Mac setiap tahun.

Atas dasar minat, Encik Nazirulmubin mendaftarkan diri sebagai sukarelawan Paya Simpanan Sungei Buloh di bawah program Lembaga Taman Negara (NParks) baru-baru ini.

Paya Simpanan Sungei Buloh ialah hutan bakau terbesar Singapura dan menjadi kediaman hampir separuh spesies bakau dunia.

Paya tersebut dinamakan Taman Warisan Asean Singapura yang pertama pada 2003 dan juga dikenali sebagai tapak kepentingan antarabangsa bagi burung yang berhijrah.

“Mungkin, ada yang tanya, apakah yang menarik di Paya Simpanan Sungei Buloh?

“Bagi saya, paya simpanan ini menawarkan tumbuhan berbeza di kawasan paya bakau ke sini,” katanya, yang kini penuntut jurusan sains bioperubatan Politeknik Ngee Ann.

Lantas, beliau mengalu-alukan orang ramai menyertai acara jejak berpandu dalam bahasa Melayu Ada Apa Dalam Paya Bakau di Paya Simpanan Sungei Buloh pada 23 September ini dari 9 hingga 10.30 pagi.

Jejak berpandu itu dipimpin Cik Normala sendiri, yang menjadi relawan NParks 10 tahun lalu.

Bermula sebagai relawan Masyarakat Mekar (Community in Bloom), Cik Normala mengalih tumpuan terhadap pemuliharaan alam sekitar di paya simpanan tersebut sekitar tiga tahun lalu.

“Ini kali pertama NParks mengadakan jejak berpandu di paya simpanan ini dalam bahasa Melayu. Kami merancang mengadakan kegiatan ini sekitar sebulan sekali.

“Tumpuan kegiatan ini adalah mempelajari beraneka tumbuhan dan haiwan di kawasan paya bakau seperti ikan tembakul, belangkas, biawak, ketam, siput dan pelbagai tumbuhan,” ujar Cik Normala.

Katanya lagi, sempena Bulan Bahasa, kegiatan jejak berpandu itu merupakan peluang baik bagi pengunjung mempelajari nama pelbagai spesies kawasan paya dalam bahasa ibunda.

“Pada masa yang sama, acara ini wadah baik bagi ahli keluarga mengeratkan silaturahim. Mungkin, ibu bapa boleh mengajak anak serta datuk dan nenek menikmati udara segar di kawasan paya ini,” kata Cik Normala.

Keistimewaan paya simpanan itu pula bergantung pada pasang surut air sungai.

Ketika air surut, pengunjung mungkin dapat melihat buaya atau anak ikan. Ketika air pasang, pengunjung boleh melihat ikan dan burung mencari makanan.

Relawan baru paya simpanan itu ialah Cik Nuramalina Shahari, 22 tahun, seorang penyampai acara.

Minatnya dalam pemuliharaan alam sekitar berputik sekitar empat tahun lalu semasa menuntut di Politeknik Temasek.

Awal bulan ini, beliau menyumbang tenaga sebagai relawan acara Wonderful World of Waders di paya simpanan tersebut.

“Setiap kali datang ke Sungei Buloh, saya melihat spesies tumbuhan berbeza di kawasan paya bakau.

“Saya berharap boleh terapkan rasa cinta terhadap alam sekitar dalam kalangan anak muda,” kata Cik Nuramalina.

Jejak berpandu percuma

‘Ada Apa Dalam Paya Bakau’ akan diadakan pada

23 September, 9 hingga 10.30 pagi. Pengunjung boleh berhimpun dulu di kaunter maklumat

Wetland Centre, Paya Simpanan Sungei Buloh.

KENALI PAYA SIMPANAN: Pelbagai jenis tumbuhan di Paya Simpanan Sungei Buloh bakal dijelaskan menerusi jejak berpandu bahasa Melayu berjudul ‘Ada Apa Dalam Paya Bakau’ pada 23 September ini. – Foto-foto ihsan NORMALA ALIAS PRIHATIN PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR: Relawan Paya Simpanan Sungei Buloh (dari kiri) Cik Nuramalina Shahari, Encik Muhammad Nazirulmubin Abdul Moomen dan Cik Normala Alias mahu menimbulkan kesedaran tentang flora dan fauna paya tersebut dan peri pentingnya memulihara kehidupan semula jadi di situ. – Foto NURMAYA ALIAS

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.