Mudah bagi Man U dan Chelsea, PSG turut beri ‘peringatan’

Berita Harian - - SUKAN -

PARIS: Tampil semula selepas terlepas beraksi dalam liga elit Eropah musim lalu, Manchester United dan Chelsea membuka kempen Liga Juara-Juara dengan bergaya.

United, yang beraksi dalam Liga Europa musim lalu, kehilangan Paul Pogba akibat kecederaan seawal minit ke-18 tetapi masih terlalu gagah apabila menundukkan kelab Swiss, Basel, 3-0 di Old Trafford dinihari semalam.

Gol jaringan Marouane Fellaini, yang menggantikan Pogba, serta Marcus Rashford dan Romelu Lukaku memastikan langkah kanan United dalam membuka tirai cabaran Kumpulan A liga berprestij Eropah ini.

Chelsea pula terlepas mendapat tempat kededua pertandingan Eropah itu musim lalu tetapi juara England itu memastikan pertarungan sulungnya di bawah pimpinan Antonio Conte berakhir kegembiraan.

Malah, pengurus asal Italy itu masih mampu merehat beberapa tunggak pasukan seperti David Luiz, Antonio Rudiger, Victor Moses dan Alvaro Morata dengan Chelsea terbukti terlalu handal apabila membelasah kelab Azerbaijan, Qarabag, yang tampil buat pertama kali dalam kejohanan ini 6-0 di Staford Bridge.

“Ia adalah permulaan yang baik... permulaan sempurna bagi kami,” ujar Conte.

“Untuk beraksi dalam perlawanan pertama Liga Juara-Juara, kemudian menang dengan keputusan yang baik... menjaringkan banyak gol... menamatkan perlawanan dengan gawang kami tidak dibolosi.

“Saya lihat banyak petanda positif. Kini kami perlu berehat dan bersedia bagi satu pertarungan sukar menentang Arsenal,” tambah Conte, merujuk kepada pertemuan Liga Perdana hujung minggu ini nanti.

Di Glasgow, pasukan tuan rumah, Celtic, gagal menyaingi kehebatan Paris Saint-Germain (PSG) yang diperkuat pemain termahal dunia, Neymar, dan bakat muda yang dianggap paling mengujakan dalam bola sepak Eropah hari ini, Kylian Mbappe, yang mencatat kemenangan mudah 5-0.

Dengan Neymar terus ‘membayar balik’ pelaburan besar yang dibuat PSG bagi mendapatkannya daripada Barcelona dengan gol kelima daripada lima perlawanan – di samping gol-gol Mbappe dan dua gol penyerang Uruguay, Edinson Cavani, menyaksikan PSG memberi ‘isyarat’ kepada pesaing-pesaing lain bahawa juara Perancis itu perlu dianggap sebagai calon serius bagi menjulang mahkota kejuaraan Liga Juara-Juara musim ini.

Satu lagi gol PSG tiba menerusi gol sendiri pemain Celtic, Mikael Lustig.

Di Camp Nou, Lionel Messi mengembalikan keceriaan penyokong Barcelona apabila menyumbatkan dua gol yang cantik semasa kemenangan 3-0 ke atas Juventus, naib juara kejohanan ini musim lalu.

Muka baru Barcelona, Ousmane Dembele, diturunkan buat pertama kali dalam kesebelasan pasukan tetapi siapa lagi jika bukan Messi yang membuka tirai jaringan sejurus sebelum rehat menyusuli satu pertukaran bola yang cantik dengan Luis Suarez.

Messi turut memainkan peranan bagi gol kedua jaringan Ivan Rakitic sebelum superstar Argentina itu mencatatkan gol ketiga yang cemerlang bagi meletakkan Barcelona di tangga atas saingan Kumpulan D itu. – AFP, Reuters.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.