Harapan tinggi iringi keberangkatan kontinjen S’pura

Berita Harian - - SUKAN -

DUA tahun lalu, beliau menjadi sensasi Internet selepas gol-gol cemerlangnya membantu pasukan bola sepak Celebral Palsy (CP) negara memenangi pingat gangsa di Sukan Para Asean (APG) yang berlangsung di tanah air.

Malah, prestasi cemerlang tunggak pasukan bola sepak CP, Khairul Anwar Kamsani, turut mendapat pujian bekas bintang England dan Manchester United, David Beckham, yang melawat Singapura semasa berlangsungnya APG itu.

Semalam, Khairul dan rakan sepasukan CP bola sepak negara merupakan antara 90 atlit dalam kontinjen Singapura yang berlepas ke Kuala Lumpur bagi edisi kesembilan APG yang akan dirasmikan mulai Ahad ini dan berlangsung hingga Sabtu depan.

“Pengalaman di APG Singapura memang tidak dapat dilupakan... ia kenangan paling manis sepanjang saya bermain dengan pasukan CP,” ujar Khairul semasa dihubungi Berita Harian kelmarin.

“Jadi saya harap kami dapat bermain dengan baik di APG KL ini. Kalau boleh, kami nak bawa pulang pingat lagi,” tambahnya yang mendapat gelaran ‘David Beckham Singapura’ selepas kehebatannya di APG Singapura itu.

Rombongan seramai 90 atlit – yang akan bersaing dalam 11 cabang sukan – di APG KL ini juga adalah yang terbesar Singapura bagi temasya sukan ini yang berlangsung di luar negara, mengatasi 57 atlit yang bertanding di APG 2008 anjuran Thailand.

Majlis mengucapkan selamat jalan semalam turut diserikan kehadiran Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Cik Grace Fu.

Kontinjen Singapura akan diketuai chief-de-mission Shirley Low, anggota lembaga pengarah Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC) sejak 2013, yang berkata:

“Kami berharap dapat memperbaiki pencapaian pingat di APG yang terakhir di luar negara (APG 2014) di Myanmar.

“Ia bukan sekadar memenangi pingat... APG ini juga medan bagi mempersembah pelbagai sukan para serta bagi golongan atlit para mengetahui bahawa mereka turut mempunyai peluang mencatat pencapaian melalui bersukan.”

Di APG Myanmar 2014, Singapura memenangi tujuh emas, 10 perak dan sembilan gangsa.

Pencapaian terbaik atlit singapura di APG luar negara ialah di temasya 2001, kebetulan dianjurkan di Malaysia juga, apabila mereka membawa pulang 16 emas, 10 perak dan 11 gangsa.

SELAMAT BERJUANG: Pasukan bola sepak Celebral Palsy (CP) Negara bergambar dengan Cik Fu (dua dari kanan) sebelum berlepas ke Kuala Lumpur semalam bagi menyertai Sukan Para Asean (APG) yang bermula Ahad ini. Turut dalam gambar ialah jurulatih pasukan, Mohamed Zainudeen Hassan

(di kanan Cik Fu), dan Encik Raja Singh, naib presiden SDSC (berkerusi roda). – Foto SDSC

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.