Verstappen: Peluang jadi juara tetap ada di Marina Bay

Berita Harian - - SUKAN - ANWAR YAHYA

MUSIM Formula Satu (F1) sejauh ini mungkin tertumpu pada persaingan sengit pemandu Mercedes Lewis Hamilton dengan Sebastian Vettel daripada Ferrari.

Namun, pemandu muda berbakat Red Bull, Max Verstappen, menarik perhatian bahawa “apa jua kemungkinan boleh berlaku di litar jalan raya seperti Marina Bay ini” dan tidak menolak kemungkinan mencatat kejutan ke atas kededua jaguh yang berada di tangga pertama dan kedua senarai pemandu itu apabila berlumba di Grand Prix Singapura Singapore Airlines pada hujung minggu ini.

“Memang keadaan di sini begitu mencabar sekali... cuaca yang panas dan litar jalan raya yang sempit menjadikan perlumbaan di Singapura yang paling sukar sepanjang musim F1,” akur Verstappen semasa bercakap kepada media setempat sempena pelancaran acara ‘The Art of Racing’ di Conrad Centennial Singapore dan Bendungan Marina petang semalam.

“Tetapi saya ghairah mahu berlumba... (Litar Marina Bay) ini adalah antara beberapa litar di mana anda benar-benar mempunyai peluang untuk muncul juara.

“Pelbagai kemungknan boleh berlaku seperti kemunculan kereta keselamatan... strategi pit stop... dan jika kami dapat mengurangkan kesilapan, saya yakin kami mampu mendapatkan keputusan yang baik.

“Masa kami tidak begitu jauh (berbanding Mercedes dan Ferrari) sebelum ini ketika kereta kami belum mencapai tahap terbaiknya sekarang, jadi saya berharap kami dapat lebih kompetitif sekarang,” tambah pemandu berusia 19 tahun itu sambil mengalukan-alukan peningkatan pada kereta Red Bull – formulasi bahan bakar baru – yang akan dimanfaatkan pasukannya di Litar Marina Bay ini.

Mula mengukir namanya apabila muncul sebagai juara F1 termuda dalam sejarah sukan ini – menjuarai Grand Prix Sepanyol musim lalu pada usia 18 tahun dan 228 hari – Verstappen dianggap antara bakat besar bagi masa depan sukan glamor ini.Dilahirkan di Belgium tetapi kini mewakili Belanda, reputasinya sebagai pemain yang penuh berani dengan gaya memandu yang agresif kian menjadi sebutan ramai peminat sukan ini – sehingga membawa perbandingan dengan legenda F1 dari Brazil, mendiang Ayrton Senna.

Kini menduduki tangga kelima senarai pemandu dengan 68 mata – jauh di bekalang Hamilton (238 mata) dan Vettel (235 mata), Verstappen mungkin sukar mengejar kededua jaguh itu sekalipun dapat menjuarai perlumbaan Ahad ini tetapi sekurang-kurangnya ia bakal menyuntik satu tonik perangsang bagi pemandu muda ini terus mengorak langkah positif dalam sukan ini.

Acara ‘The Art of Racing’ yang turut menampilkan rakan sepasukan Verstappen, Daniel Ricciardo, adalah bagi meraikan kerjasama Red Bull dengan Esso dan Mobil 1.

Ia turut menyaksikan tiga artis setempat, Zul Othman (Zero), Raihana Abdul Rahman (AraiKreva) dan Candice Phang (Puffingmuffin) – dengan ‘sentuhan’ Ricciardo – melengkapkan hasil kerja seni yang diilhamkan mereka sempena meraikan acara itu semalam.

SENTUHAN GLAMOR: Seorang lagi bintang pasukan Red Bull, Daniel Ricciardo (atas), memberikan sentuhannya pada rekaan kreatif tiga artis setempat – Zul Othman (Zero), Raihana Abdul Rahman (AraiKreva) dan Candice Phang (Puffingmuffin) – sempena acara promosi ‘The Art of Racing’ semalam.

SAHUT CABARAN: Juara termuda F1 daripada pasukan Red Bull, Max Verstappen, menganggap perlumbaan di Singapura ini satu cabaran besar tetapi berkata beliau seronok setiap kali dapat menguji keupayaannya di litar sempit Marina Bay. – Foto-foto EXXONMOBIL ASIA PACIFIC

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.