Lebih 400,000 sertai kursus latihan bersubsidi tahun lalu

Berita Harian - - BERITA -

LEBIH 400,000 orang menyertai kursus latihan bersubsidi tahun lalu, menurut SkillsFuture Singapore (SSG) dalam satu kenyataan semalam.

Jumlah itu satu kenaikan berbanding 2015, kata agensi tersebut.

Dua tahun lalu, 379,000 orang menyertai 835,000 kursus yang dibiayai Kementerian Pendidikan (MOE) dan SSG.

Tahun lalu, jumlah itu naik kepada 418,000 orang dengan 950,000 kursus.

Lebih banyak pembiayaan disalurkan bagi menampung subsidi kursus tahun lalu.

MOE dan SSG menyediakan sekitar $458 juta dalam bentuk subsidi kursus langsung tahun lalu – kenaikan sekitar 20 peratus daripada 2015.

Sebahagian besar pembiayaan itu, iaitu sekitar 91 peratus, disediakan menerusi subsidi yuran kursus sejajar dengan sektor ekonomi utama Singapura.

Baki 9 peratus pembiayaan diberikan langsung kepada individu menerusi inisiatif seperti Kredit SkillsFuture.

SSG mendedahkan perangkaan tersebut dalam laporan pertamanya mengenai Keadaan Industri Latihan yang dikeluarkan semalam.

Ia mendapati bahawa antara bidang latihan popular ialah maklumat dan komunikasi, kecemerlangan perkhidmatan dan pendidikan serta latihan.

Ia juga menjalankan tinjauan pascalatihan bersama individu dan syarikat yang menyertai latihan Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) Singapura.

Dapatan Tinjauan Penilaian Hasil WSQ 2016 itu menunjukkan bahawa sebahagian besar majikan terus mendapati latihan WSQ memberi manfaat kepada pekerja dan perniagaan mereka.

Sebanyak 96.7 peratus syarikat yang ditinjau melaporkan bahawa latihan WSQ mempunyai impak positif ke atas penggunaan kemahiran pekerja mereka – naik sedikit daripada 95.7 peratus pada tahun sebelumnya.

Sekitar 90 peratus individu juga mendapati latihan WSQ telah membolehkan mereka bekerja secara lebih berkesan.

“Berdasarkan hasil tinjauan pascalatihan 2016, kebanyakan individu dan syarikat mendapati bahawa latihan yang diraih berguna bagi pekerjaan mereka,” kata Ketua Eksekutif SSG, Encik Ng Cher Pong.

“Sedang kami terus melabur dengan banyak dalam SkillsFuture, kami akan memperluas jejak hasil latihan dan bagaimana kemahiran yang diperolehi digunakan di tempat kerja,” tambahnya.

SSG berkata ia akan memperluas skop tinjauan pascalatihan di luar latihan WSQ untuk meliputi semua kursus yang dibiayai MOE dan SSG.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.