Pasaran buruh separuh pertama 2017 bertambah baik

Pekerjaan bagi pekerja Singapura bertambah buat kali pertama sejak tiga tahun lalu Pengangguran merosot Pemberhentian kerja berkurangan

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT - NORHAIZA HASHIM

PASARAN buruh Singapura bertambah baik sepanjang separuh pertama tahun ini, dengan jumlah pekerjaan bagi pekerja tempatan bertambah buat kali pertama sejak tiga tahun lalu.

Kadar pengangguran merosot, manakala pemberhentian kerja juga berkurangan, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Jumlah pekerjaan bagi pekerja tempatan tumbuh 4,000 dari Januari hingga Jun lalu, setelah berkurangan 8,900 pada separuh pertama 2015 dan 200 bagi tempoh sama 2016.

Pertumbuhan pekerjaan itu dinikmati dalam sektor kemasyarakatan, sosial dan khidmat peribadi; kewangan dan insurans serta maklumat dan perhubungan (infokom).

Jumlah pekerjaan bagi pekerja asing (tidak termasuk pembantu rumah) susut 21,400 dari Januari hingga Jun lalu, meneruskan kemerosotan 14,300 pada separuh kedua tahun lalu.

Ia disebabkan pengurangan pemegang permit kerja, yang berkurangan 18,800 dalam sektor binaan dan kejuruteraan luar pesisir.

Jumlah pekerjaan bagi pemegang Pas S berkurangan 300, manakala pemegang pas pekerjaan (EP) susut 2,400 – buat kali pertama sejak separuh pertama 2013 disebabkan pengurangan khidmat profesional dan infokom.

MOM menjangka bekalan pasaran buruh akan kekal ketat bagi tempoh sederhana dengan jumlah pertumbuhan pekerjaan tahunan mencecah 25,000 hingga 40,000 (tidak termasuk pembantu rumah) bagi tiga hingga lima tahun mendatang.

“Pertumbuhan pekerja tempatan akan kekal sederhana disebabkan trend demografi, manakala pertumbuhan pekerja asing akan terus meningkat sederhana,’’ ujar MOM dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, MOM berkata kadar pengangguran bagi warga Singapura berkurangan 3.3 peratus pada Jun lalu, daripada 3.5 peratus pada Mac.

Bagi warga dan Penduduk Tetap (PR) Singapura pula, kadar pengangguran ialah 3.1 peratus, berbanding 3.2 peratus Mac lalu.

Kadar pengangguran jangka panjang, yang mengukur mereka yang kekal tidak bekerja selama 25 minggu atau lebih berbanding jumlah tenaga buruh, susut sedikit kepada 0.7 peratus pada Jun berbanding 0.8 peratus Mac lalu, menurut perangkaan awal MOM.

Namun, MOM menyatakan kadar pengangguran penduduk dan jangka panjang itu dijangka kekal tinggi dalam tempoh sederhana disebabkan penyusunan ekonomi yang berterusan dan ketidaksepadanan antara pekerjaan dengan kemahiran yang dimiliki pekerja.

Jumlah pemberhentian pekerja berkurangan kepada 7,640 dari Januari hingga Jun lalu, daripada 9,510 pada tempoh sama tahun lalu.

Sebanyak 64 peratus pekerja yang diberhentikan mendapat pekerjaan baru dalam tempoh enam bulan.

Namun, kadarnya lebih rendah bagi mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas (54 peratus) dan golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) (61 peratus).

Jumlah pekerjaan kosong juga bertambah, mencapai 49,000 Jun lalu daripada 46,800 pada Mac.

MOM berkata syarikat dijangka menggajikan lebih ramai pekerja bagi separuh kedua tahun ini disebabkan permintaan bertambah bagi musim perayaan akhir tahun dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Patrick Tay, berkata beliau melihat tanda positif dalam pasaran buruh berdasarkan perangkaan separuh pertama itu.

Berdasarkan ramalan oleh Unit Pekerjaan Hadapan, Kemahiran dan Latihan (FJST) NTUC, lebih banyak peluang pekerjaan akan ditawarkan dalam sektor kewangan, teknologi infokom, penjagaan kesihatan, dagangan borong dan kejuruteraan-perkilangan.

Namun, beliau masih menjangka pemberhentian pekerja disebabkan gangguan teknologi dan penyusunan perniagaan bagi separuh kedua tahun ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.