Lebih 20 maut dalam kebakaran pusat tahfiz di KL

Berita Harian - - BERITA DUNIA -

KUALA LUMPUR: Sekitar 23 pelajar dan tenaga pengajar dilaporkan maut dalam satu kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini, awal pagi semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Bomba Encik Abu Obaidat Mohamad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.41 pagi sebelum lima jentera bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kejadian kebakaran didapati berlaku di tingkat dua bangunan tersebut dan api dapat dikawal pada 6.15 pagi sebelum padam sepenuhnya pada 6.45 pagi.

“Kerja mencari dan menyelamat masih dijalankan. Setakat ini, kira-kira 23 mayat telah dikeluarkan manakala lima lagi yang terselamat cedera,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, seramai lebih 20 lagi pelajar sempat menyelamatkan diri dengan terjun menerusi tingkap di tingkat dua, manakala mangsa lain yang gagal selamatkan diri dipercayai ditemui berdekatan pintu keluar.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa sedih dengan tragedi kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Datuk Najib menerusi Twitter rasminya mendoakan semoga roh mangsa dirahmati Allah.

“Innalillah. Amat sedih baca Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terbakar dan korban lebih 20 nyawa. Moga roh dirahmati Allah swt. Al-Fatihah,” katanya.

Sementara itu, Encik Nasron Mat Yusof, 46 tahun, kehilangan seorang anaknya dalam kebakaran itu.

“Saya kehilangan seorang anak. Tetapi Allah selamatkan seorang lagi,” kata Encik Nasron Mat Yusof, kepada Berita Harian Online semalam.

Beliau ialah bapa kepada Mohd Nizamuddin, 13 tahun, seorang daripada lebih 20 mangsa kebakaran semalam.

Encik Nasron berkata berita yang menyayat hati itu disampaikan oleh seorang lagi anaknya yang belajar di pusat tahfiz berkenaan, Zunnun Misri, 15 tahun, ketika menghubungi beliau pagi semalam.

Katanya, berita menyayat hati itu diterima kira-kira 6.30 pagi tadi.

“Zunnun melompat keluar dari bangunan sebelum dibantu orang ramai.

“Dia kini mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui Berita Harian Online semalam.

Sementara itu, Mohd Zattullah Roslan, 11 tahun, seorang dari mangsa yang maut dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini, sempat bertemu ibunya Ahad lalu.

Cik Kamizan Yusof, 48 tahun, berkata dia tergerak hati membaca surah Nuh kelmarin dan tidak menyangka ada kaitan dengan kejadian yang menimpa anak lelaki tunggalnya semalam.

“Kali terakhir berjumpa arwah Ahad lalu, untuk memenuhi permintaan makanan kesukaan arwah dan barang keperluannya.

“Saya tidak pernah menolak apa-apa yang dia mahu,” katanya ketika ditemui semalam.

Mohd Zattullah ialah anak bongsu daripada dua adik beradik.

Cik Kamizan berkata beliau mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira 7 pagi semalam selepas dihubungi rakannya, Cik Zubaidah Majid, 54 tahun, yang menetap berhampiran pusat tahfiz berkenaan.

“Sepanjang perjalanan, saya berdoa agar Mohd Zattullah selamat tetapi apabila tiba di sini, saya dimaklumkan dia maut dalam kebakaran.

“Saya reda dia dah pergi,” katanya. – Agensi berita.

TRAGEDI MENYAYAT HATI: Pegawai polis dan bomba mengawal keadaan (gambar atas) di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur yang tingkat atasnya hangus terbakar (gambar kiri) semalam . – Foto-foto AFP

REDA: Anak bongsu Cik Kamizan Yusof merupakan antara pelajar yang terkorban. – Foto NSTP

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.