Jahit, jual kain penutup ibu menyusu walau punya dua anak kecil

Berita Harian - - KELUARAN KHAS - NUR DHUHA ESOOF

WALAUPUN sibuk dengan dua anak kecil, Cik Wan Asshikin Wan Sarip dapat membahagikan masa untuk menjalankan perniagaan dari rumah.

Beliau membuat dan menjual kain penutup bagi ibu menyusu, atau nursing cover.

Cik Asshikin, 28 tahun, memotong kain bagi menghasilkan kerja tangannya itu apabila anak-anaknya tidur.

Kerja menjahit pula dilakukan sebelah malam.

Tidak terlintas dalam fikiran bekas guru tadika itu bahawa beliau akan menjadi peniaga apabila berhenti kerja selepas melahirkan anak sulungnya dua tahun lalu.

Cik Asshikin berkata ketika memulakan perniagaan itu, beliau mengambil masa dua jam bagi menghasilkan sehelai kain penutup.

Namun setelah semakin mahir dan berpengalaman, beliau kini boleh menghasilkan 10 kain penutup dalam tempoh itu – sesuai dengan permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

Tugas menjaga anak berusia dua setengah tahun dan empat bulan serta perniagaan dalam taliannya, Milc Customised Nursing Cover, membuat beliau cukup sibuk hingga hasratnya bercuti dengan lebih kerap bersama suaminya, seorang juruterbang syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA), belum kesampaian.

Menceritakan bagaimana beliau mula menghasilkan kain penutup ibu menyusu itu, Cik Asshikin berkata ia berlaku selepas beliau melahirkan anak sulungnya. “Saya juga mahu memadankan pakaian saya dengan kain penutup yang sesuai warna dan coraknya. Memandangkan saya sukar menemui kain penutup yang menepati cita rasa, saya memilih menjahit kain penutup sendiri.’’

– Cik Wan Asshikin Wan Sarip.

“Saya susukan anak sepenuhnya dan saya mendapati jenis kain penutup yang dijual di pasaran agak terhad. Saya mencari kain penutup yang memberi perlindungan penuh supaya saya dapat menyusukan anak saya dengan selesa di tempat awam.

“Saya juga mahu memadankan pakaian saya dengan kain penutup yang sesuai warna dan coraknya. Memandangkan saya sukar menemui kain penutup yang menepati cita rasa saya, saya memutuskan menjahit kain penutup sendiri,” kata Cik Asshikin, yang menetap di sebuah flat lima bilik di Bedok Reservoir Road.

Beliau, yang berpengalaman menjahit beg semasa di bangku sekolah, membeli mesin jahit dan belajar menjahit kain penutup berpandukan video bimbingan di YouTube dan panduan menjahit di laman kreatif Pinterest.

Kain penutup pertama yang dihasilkan Cik Asshikin menarik perhatian ramai kenalan yang juga mahukannya.

Pada mulanya, beliau menjahit kain penutup secara percuma buat rakan, namun lama-kelamaan timbul pula idea menubuhkan perniagaan sendiri.

Cik Asshikin bermula dengan mendapatkan kain dari kedai di sini dan kemudian membawa masuk kain dari negara tempat beliau bercuti.

Sejauh ini, beliau menawarkan kain penutup yang diperbuat daripada kain yang dibeli dari Dubai, Turkey, Munich di Jerman dan Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Biasanya saya mencari kain yang mempunyai warna menarik, corak unik dan bertekstur lembut supaya tidak panas untuk bayi.

“Saya juga membeli fabrik berjenama seperti Michael Miller dan Cotton and Steel, bagi membuat kain penutup dalam bilangan terhad,” tambahnya, yang menawarkan dua jenis kain penutup dan khidmat menyulam nama.

Cik Asshikin, yang mengendalikan perniagaannya di Instagram, telah menerima tawaran menjual kain penutupnya di kedai namun terpaksa menolaknya kerana khuatir tidak dapat memberi komitmen penuh.

Namun, beliau tidak melepaskan peluang menawarkan produknya di bazar menjual barangan bayi atau acara berkaitan kehamilan atau penyusuan bayi.

“Buat masa ini, saya jahit beberapa helai kain penutup sebelum menawarkannya di Instagram. Jika saya menerima tempahan khas, atau customisation, saya akan berikan pelanggan tempoh anggaran kain penutup itu boleh disiapkan.

“Saya harus sedar kebolehan dan kemampuan saya menjahit sambil menjaga dua anak kecil tanpa bantuan orang lain,” kata Cik Asshikin.

BIJAK BAHAGI WAKTU: Cik Wan Asshikin menggunting kain untuk dibuat kain penutup ibu menyusu apabila anak-anaknya tidur. Kerja menjahit pula dilakukannya sebelah malam. – Foto ihsan WAN ASSHIKIN WAN SARIP

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.