Sibuk urus lapan anak tak halang ibu tambah kemahiran menjahit

Berita Harian - - KELUARAN KHAS -

MENJADI ibu lapan anak tidak menghalang Cik Siti Hanizah Hamzah menambah kemahirannya dalam bidang menjahit.

Tidak berpuas hati dengan kebolehan menjahit pakaian dan langsir, suri rumah berusia 48 tahun itu belajar cara menjahit pelbagai jenis beg, daripada beg tangan wanita ke beg sekolah kanak-kanak.

Baru-baru ini, beliau mengikuti kelas sulaman pula kerana minat dan juga melihat terdapat potensi berniaga dengan kemahiran itu.

Ibu tujuh anak kandung dan seorang anak angkat berusia antara sembilan dengan 27 tahun itu bijak membahagikan masa antara keluarga, minat dan perniagaan menjahitnya, CT Haniz Needlecrafts.

Cik Siti Hanizah mula menjahit ketika remaja atas dorongan ibunya yang berkata kemahiran itu penting sekiranya beliau mempunyai anak perempuan kelak.

Beliau bagaimanapun hanya benar-benar minat menjahit sekitar 13 tahun lalu setelah mempunyai empat anak perempuan dan mahu mencari cara mengurangkan perbelanjaan membeli atau menempah baju kurung baru menjelang Hari Raya.

Tidak sekadar menjahit pakaian sendiri, Cik Siti Hanizah turut menerima tempahan menjahit baju dan langsir di samping bekerja sepenuh masa sebagai pengendali pengeluaran.

Beliau berhenti kerja sekitar sembilan tahun lalu bagi menjaga anak bongsunya yang menghidap ekzema dan tidak boleh meminum susu formula.

“Selepas anak bongsu saya masuk sekolah dan mula berdikari, saya cuba kembali bekerja tapi ada sahaja perkara yang menghalang,” katanya.

Tahun lalu, Cik Siti Hanizah berkenalan dengan lebih ramai tukang jahit di Singapura melalui kumpulan Facebook The Sewing Network dan beliau mula belajar menjahit beg daripada guru jahit dalam kumpulan tersebut.

Selepas belajar menjahit beg ala beg jenama Longchamp, beliau belajar pula cara menjahit beg sekolah dan kemudian beg kepit.

“Apabila ada orang tempah baru saya jahit beg itu. Kadangkala, saya baru buat beg untuk diri sendiri dan kongsi di Facebook atau Instagram, dah ada pula orang beli. Tak sempat saya nak gunakan beg itu,” kata Cik Siti Hanizah sambil ketawa.

Beliau akur pada mulanya tidak meminati beg buatan tangan kerana tidak berjenama.

“Tapi lama-kelamaan saya lihat beg buatan tangan macam eksklusif. Kalau kita beli beg di kedai, walaupun murah, ramai orang memiliki beg yang sama. Tapi kalau beg buatan tangan, cuma kita seorang saja yang ada,” kata Cik Siti Hanizah yang menjual begnya pada harga antara $50 dengan $120.

“Ada orang kata beg saya mahal. Saya akan terangkan, beg buatan tangan tidak mudah untuk dibuat. Ia tidak dihasilkan secara pukal. Saya sendiri yang menjahit setiap bahagian beg itu dan ia bukan kerja mudah,” tambahnya.

Cik Siti Hanizah, yang memiliki empat mesin jahit, mengubah sebahagian dapur di flat tiga biliknya di West Coast Road menjadi studio menjahit.

Beliau biasanya menjahit sebelah pagi selepas anak-anak ke sekolah dan selepas menyelesaikan kerja rumah atau sebelah malam pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Selain menjual dalam talian, Cik Siti Hanizah menawarkan produknya di bazar LalooLalang bersama produk rakan-rakan menjahitnya daripada kumpulan Artisans’ Haven.

Kumpulan itu dianggotai lapan tukang jahit Melayu Singapura yang masing-masing mempunyai perniagaan menjahit atau kraf tangan.

Anggota kumpulan tersebut yang terdiri daripada suri rumah dan wanita bekerja, sering mengongsi kemahiran menjahit melalui WhatsApp atau apabila mereka bertemu.

“Kami akan bertemu di rumah salah seorang anggota dan mengongsi pattern dan belajar menjahit bersama-sama. Kami suka mengongsi ilmu dan belajar daripada satu sama lain,” kata Cik Siti Hanizah.

PERTINGKAT ILMU MENJAHIT: Selain menjahit pakaian, Cik Siti Hanizah menghasilkan pelbagai jenis beg tangan. – Foto-foto SITI HANIZAH HAMZAH

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.