SMRT menang tender untuk urus Laluan Thomson-East Coast

Berita Harian - - MUKA DEPAN -

PENGENDALI tren SMRT telah memenangi kontrak operasi bagi Laluan Thomson-East Coast (TEL) dengan tawaran 30 peratus lebih rendah daripada pesaingnya, SBS Transit.

SMRT membuat tawaran $1.7 bilion untuk mengendali laluan baru itu selama sembilan tahun.

TEL dijangka dibuka pada 2019.

“Kami gembira dengan keputusan TEL. Apabila ia beroperasi sepenuhnya pada 2024, ia akan memperluas sepertiga rangkaian SMRT,” kata Pengerusi SMRT Corporation, Encik Seah Moon Ming.

Beliau menambah bahawa SMRT akan berusaha mengembalikan keyakinan orang awam dan “memenuhi jangkaan dengan menunjukkan bahawa usaha kami merubah SMRT akan menghasilkan perjalanan yang baik”.

Dalam kenyataannya semalam, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan bahawa SMRT yang diswastakan baru-baru ini juga menawarkan mutu yang lebih tinggi dalam tendernya.

“Ini khususnya cadangannya memaparkan komitmen akan melabur dengan banyak dalam membuat ramalan dan penyelenggaraan yang boleh dipercayai bagi meningkatkan keandalan.

“Cadangan SMRT Trains juga meliputi pelan pembangunan kakitangan yang kukuh, termasuk latihan berorientasikan pelanggan, dan inisiatif penglibatan masyarakat yang disesuaikan.

“SMRT Trains juga melaksanakan satu set jaminan kontrak dalam bentuk potongan bayaran perkhidmatan sekiranya kewajipan utama tidak dapat dipenuhi,” kata LTA.

SMRT kini mengendalikan Laluan TimurBarat, Utara-Selatan dan Circle serta LRT Bukit Panjang.

SBS Transit, walaupun mempunyai rekod prestasi rel yang lebih baik berdasarkan prestasi statistik, gagal dalam tender itu.

SBS Transit kini mengendalikan Laluan Timur Laut dan Downtown serta LRT Sengkang dan Punggol.

Jurucakap SBS Transit, Cik Tammy Tan, berkata: “Kami mengucapkan tahniah kepada SMRT kerana dianugerahkan tender itu. Kami sememangnya kecewa.

“Bagaimanapun, kami tetap komited dalam meningkatkan keandalan rel kami dan prestasi laluan sedia ada kami dengan terus berkhidmat kepada pengguna kami dengan baik.”

Petunjuk pertama SMRT mempunyai kelebihan dalam tender tersebut muncul bulan lalu apabila syarikat milik Temasek itu diundang membina laluan tren Singapura-Johor Bahru.

Rekod prestasi SMRT baru-baru ini tidak begitu mengagumkan, dengan kerap berlaku penangguhan.

Sebagai contoh, Laluan Circle yang berusia lapan tahun mencatatkan satu kelewatan bagi setiap 518,000 kilometer perjalanan tren dalam tempoh enam bulan pertama, manakala SBS Transit yang mengendalikan Laluan Timur Laut yang berusia 14 tahun mencatatkan satu kelewatan bagi setiap 978,000 kilometer perjalanan tren.

Ditanya bagaimana SMRT berjaya mendapat kontrak itu walaupun rekodnya kurang memuaskan, Encik Seah berkata: “Saya fikir kami telah banyak mempelajari dan belajar daripada semua masalah dan cabaran yang kami hadapi setakat ini.

“Ini adalah sistem yang berusia 30 tahun, dan sedang dalam proses pembaharuan dan semua masalah serta cabaran yang kami hadapi, kami menganggapnya sebagai pelajaran yang baik dan ini sangat berguna bagi kami terutama untuk laluan baru.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.