Mendaki beri dua anugerah baru galak belajar sepanjang hayat

Berita Harian - - BERITA - ATIYYAH MOHD SAID

MENDAKI akan memberi dua anugerah baru bagi membantu karyawan dalam peringkat awal hingga pertengahan kerjaya mereka yang mahu menimba kemahiran dalam ekonomi masa depan, serta golongan yang tidak tamat pengajian selepas sekolah menengah, pada tahun depan.

Dua anugerah itu – Anugerah Fellowship Mendaki dan Anugerah Pengajian Mendaki – diumumkan Menteri Perhubungan dan Penerangan yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, semalam sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-35 Mendaki.

Dr Yaacob turut mengumumkan bahawa Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong akan dinamakan semula sebagai Anugerah Belia Cemerlang Mendaki.

Bercakap semasa majlis penyampaian Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong di Muzium Negara semalam, Dr Yaacob menjelaskan bahawa dua anugerah baru itu penting dan sejajar dengan fokus Mendaki mengenai pembelajaran sepanjang hayat agar ia kekal relevan dan membina kesediaan bagi masa hadapan.

“Penambahan anugerah ini penting sedang kita berusaha meluaskan definisi kecemerlangan dan memberi inspirasi kepada masyarakat supaya menerima pembelajaran sepanjang hayat,” ujar beliau.

Memberikan perincian mengenai Anugerah Fellowship Mendaki, Dr Yaacob menjelaskan bahawa ia dibuka bagi semua bidang dan kepada semua karyawan Muslim yang sudah mendapat tempat mengikuti kursus profesional dan program bekerja sambil belajar di dalam dan luar negara.

“Anugerah ini bertujuan menyokong karyawan di tahap awal hingga pertengahan kerjaya yang mahu membangunkan kepakaran dalam sesuatu kemahiran dalam ekonomi masa depan,” terangnya.

Mendaki akan menawarkan dua anugerah itu, yang masing-masing bernilai sehingga $20,000, pada tahun depan.

Menurut Dr Yaacob, dalam usaha menggalak masyarakat menimba kepakaran, Mendaki juga akur sokongan bagi pelajar dewasa yang tidak menamatkan pendidikan selepas sekolah menengah adalah sama penting.

“Lantaran itu, Anugerah Pengajian Mendaki ditubuhkan bagi tujuan ini.

“Mendaki akan bekerjasama dengan agensi kemasyarakatan untuk mendapatkan pencalonan dan rujukan bagi individu yang layak menerimanya,” tambahnya.

Sebagai permulaan tahun depan, anugerah itu akan diberikan kepada sehingga empat penerima.

Menyentuh tentang perubahan nama kepada Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong – yang diperkenal 10 tahun lalu – Dr Yaacob menyifatkannya sebagai satu evolusi menarik serta berharap agar ia memberi inspirasi kepada lebih ramai belia yang berbakat dalam mengejar kecemerlangan.

Beliau melahirkan rasa terima kasih atas sokongan Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong selama ini dalam merealisasikan potensi belia.

Menurut Dr Yaacob, anugerah itu harus terus berkembang sedang masyarakat berubah.

“Bidang baru kini muncul dan kemahiran baru akan menjadi penting dalam ekonomi masa depan.

“Untuk terus relevan dan kompetitif, kita harus memupuk budaya pembelajaran berterusan,” ujarnya.

Enam penerima yang cemerlang dalam bidang bukan akademik seperti teater dan seni halus telah menerima Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong daripada Dr Yaacob dalam majlis itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.