Mencari wanita cantik, bijak dan yakin diri

Berita Harian - - BERITA DUNIA - ERVINA MOHD JAMIL

MEMPERKASA wanita untuk memperkasa wanita lain – itulah visi pertandingan ratu cantik Mrs & Ms Singapore Malays International 2017/2018.

Jawatankuasa penganjurnya berkata pertandingan itu bukan pertandingan ratu cantik yang sekadar menilai peserta dari segi kecantikan luaran. Sebaliknya, ia bertujuan mewujudkan peluang bagi peserta membina rangkaian, menyumbang kepada masyarakat dan meningkatkan kesihatan.

Sekitar lima bulan sejak April lalu, sekumpulan wanita berusia antara 22 dengan 45 tahun beradu dalam pertandingan itu dan kini terdapat 13 finalis.

Mereka termasuk wanita sudah berkahwin dan mempunyai anak, ibu tunggal dan wanita belum berkahwin.

Dalam acara finale pertandingan itu di Hotel Amara malam ini, lima daripada mereka akan pulang dengan bergelar Mrs Singapore Malay International 2018, Ms Singapore Malay International 2018, Miss Singapore Malay International 2018, Mrs Singapore Malay Asia 2017 dan Ms Singapore Malay Asia 2017.

Pertandingan itu telah diadakan tiga kali sejak 2014. Menurut seorang anggota jawatankuasa penganjurnya, Cik Saripah Atmari, 38 tahun, mereka bekerjasama dengan rumah tumpangan wanita Casa Raudha tahun ini bagi memperkasa wanita yang menghadapi kesukaran dalam hidup mereka.

Ini sejajar dengan misi mereka untuk memperkasa kaum Hawa menjadi lebih yakin.

Mereka juga telah mengumpulkan sebanyak $7,000 hasil jualan kuih Raya dan tiket bagi acara hi-tea sempena Hari Ibu Mei lalu yang disalurkan kepada Casa Raudha.

Seorang lagi anggota jawatankuasa penganjur, Cik Seriwati Salim, 37 tahun, pula berharap pertandingan itu dapat menggalak lebih ramai wanita melakukan sesuatu untuk diri mereka dan masyarakat walaupun selepas sudah berumah tangga.

Dalam pertandingan itu, peserta bukan sahaja mengikuti pelbagai kursus dan bengkel termasuk dandanan peribadi, senaman yoga dan sebagainya malah dapat belajar daripada satu sama lain.

Misalnya, peserta paling muda dalam pertandingan itu, Cik Ainur Rosyieqa Mohamad Anuar, 22 tahun, berkata beliau mendapat banyak sokongan daripada peserta lain.

Meskipun pada mulanya pelajar Maktab Seni Lasalle itu berasa dirinya paling tidak berpengalaman berbanding peserta lain, mereka sentiasa bersedia membantunya.

“Kami sering bertukar-tukar pendapat dan kontak serta saling membantu,” ujarnya.

Seorang lagi peserta, Cik Raihana Abdul Rahim, 27 tahun, pula berkata beliau tersentuh mendengar pengalaman yang dilalui sesetengah peserta lain yang merupakan ibu tunggal dan terdorong ingin membantu wanita yang senasib dengan mereka.

Antara ibu tunggal yang muncul sebagai finalis pertandingan itu ialah Cik Nurul Faizah Hassan, 34 tahun.

Meskipun digelar dengan status janda dan ibu tunggal, jururawat itu berkata beliau juga sama seperti wanita lain yang mempunyai keinginan untuk berjaya dan cemerlang seperti wanita lain.

“Kami juga ingin menjadi inspirasi bagi wanita lain dan anak-anak kami ialah sumber kekuatan kami,” ujarnya.

SIAPA RATU?: Seramai 13 finalis akan berentap bagi mahkota dalam finale pertandingan ratu cantik Mrs & Ms Singapore Malays International 2017/2018 malam ini. Mereka bergambar bersama anggota jawatankuasa penganjur (mulai tiga dari kiri di barisan belakang) Cik Dania Irdina Mohd Rashid, Cik Seriwati Salim, Cik Sabrina Samri, Cik Saripah Atmari dan Cik Hernidiana Mansor. – Foto KHALID BABA

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.