Red Bull, Ferrari pantas sekali, Hamilton terus beri saingan

Berita Harian - - SUKAN - ANWAR YAHYA

SEPERTI yang diramalkan, Red Bull dan Ferrari menguasai sesi latihan pertama semalam – menggambarkan saingan hebat dua pasukan itu apabila berbaris di petak mula perlumbaan Grand Prix Singapura malam esok.

Dengan Red Bull dan Ferrari dikatakan memiliki kereta yang paling sesuai menangani Litar Jalan Raya Marina Bay yang berliku lagi ‘berbelit’ – paling banyak selekoh berbanding 19 perlumbaan lain dalam kalendar Formula Satu (F1) musim ini – Daniel Ricciardo, Sebastian Vettel dan Max Verstappen semuanya tidak mengecewakan.

Malah, bintang Red Bull, Ricciardo, naib juara di Singapura sejak dua tahun lalu, mencatatkan rekod baru terpantas bagi satu pusingan dengan catatan masa 1 minit, 42.489 saat.

Vettel dari Ferrari – juara empat kali di sini – mencatatkan masa kedua terpantas iaitu 1:42.598 manakala juara termuda F1 dari Red Bull, Verstappen, memiliki masa ketiga terpantas.

Superstar Mercedes dan pendahulu senarai pemandu musim ini, Lewis Hamilton, tidak jauh di belakang dengan masa keempat terpantas.

Dengan Hamilton dan Vettel bersaing sengit musim ini – hanya tiga mata memisahkan kededuanya selepas 13 perlumbaan musim ini – kededua mengharapkan keputusan yang baik dalam perlumbaan utama malam esok bagi merebut kejuaraan dunia F1 musim ini.

Dengan rekod empat kemenangan di sini sejak F1 kembali ke Singapura pada 2008 serta enjin dan aerodinamik kereta Red Bull yang lebih condong dengan Litar Marina Bay yang mencabar, Vettel mungkin memiliki ‘kelebihan psikologi’ untuk mencatatkan kejayaan kelima di sini.

Namun, memburu kemenangan ketiga berturut-turutnya – dan yang ketujuh musim ini – Hamilton tentunya tidak akan mudah menyerah selepas memenangi dua perlumbaan terakhir di Belgium dan Italy.

“Saya fikir Red Bull akan begitu pantas sekali hujung minggu ini... dan hakikat bahawa kami berhadapan tugas yang sukar di Singapura tetapi saya begitu positif sekali... dengan rancangan mahu memenangi perlumbaan ini.

“Apa jua keadaannya... pasukan-pasukan lain mempunyai kelebihan dari segi downforce... kami telah bekerja keras untuk memahami kereta kami dan kami tiba di Singapura dengan ‘senjata’ penuh (bagi mencatatkan kemenangan,” ujar Hamilton.

Juara dunia F1 tiga kali, Hamilton kini mendahului senarai pemandu dengan 238 mata, manakala Vettel di tangga kedua dengan 235 mata.

Rakan Hamilton di Mercedes, Valtteri Bottas, menduduki tangga ketiga dengan 197 mata.

Laporan tidak termasuk keputusan sesi latihan kedua yang berlangsung lewat malam tadi.

‘PECUT’ LAJU: Juara dunia tiga kali Lewis

Hamilton ‘memecut’ semasa sesi latihan pertama semalam. Beliau akur cabaran besar yang menantinya di Litar Marina Bay yang dikatakan memberi kelebihan kepada Ferrari dan Red Bull. – Foto AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.