Chelsea azam terus ‘hukum’ Arsenal

Berita Harian - - SUKAN -

LONDON: Chelsea ghairah menjelang pertemuan dengan Arsenal dalam Liga Perdana esok (8.30 malam esok waktu Singapura) dengan harapan meneruskan momentum kemenangan selepas kemenangan besarnya dalam Liga Juara-Juara awal minggu ini, kata penjaga gawang pasukan, Thibaut Courtois.

Arsenal, yang turut mengalami kekalahan memalukan 0-4 kepada Liverpool bulan lalu, sudah pun tewas dua daripada empat perlawanan awalnya musim baru ini.

Pasukan kendalian Arsene Wenger bangkit dengan kemenangan ke atas Bournemouth hujung minggu lalu – termasuk kejayaan 3-1 ke atas FC Cologne dari Jerman dalam Liga Europa dinihari semalam – tetapi Courtois berkata rakan-rakannya berharap meneruskan langkah cemerlang mereka, sekali gus merobekkan peluang jirannya di London itu untuk bersaing bagi trofi kejuaraan musim ini.

“Masanya tepat sekali... untuk kami berjumpa dengan Arsenal sekarang,” ujar Courtois, yang mengawal gawang pasukan bergelar The Blues itu semasa kemenangan besar 6-0 ke atas Qarabag dari Azerbaijan dalam Liga Juara-Juara pada Selasa lalu.

“Semua pemain berada di tahap yang baik... segalanya baik sekali bagi pasukan kami.

“Kami menang di padang Leicester, menang dengan selesa (ke atas Qarabag), jadi kami penuh yakin menjelang pertemuan dengan Arsenal,” tambahnya.

Selepas dilanda kejutan besar pada hari pembukaan liga pada 12 Ogos lalu apabila juara England itu tewas 2-3 kepada Burnley, pasukan pimpinan Antonio Conte itu bangkit dengan memenangi tiga pertarungan liganya yang menyusul – menewaskan Tottenham Hotspur, Everton dan Leicester.

Arsenal mempunyai rekod hambar menentang Chelsea di Stamford Bridge – pasukan Wenger gagal mencatat kejayaan sejak menang 5-3 pada 2011.

Dengan seterunya, Manchester United, hanya turun bermain esok, jirannya, Manchester City, berpeluang melompat ke tangga teratas liga sekiranya memenangi pertarungannya dengan Watford hari ini.

Kededua United dan City mengongsi tangga atas Liga Perdana dengan 10 mata dengan United menguasai tangga pertama kerana mempunyai berbezaan gol lebih baik.

Watford, kelab kejutan sejauh musim baru ini, juga belum lagi kalah selepas empat perlawanan untuk menduduki tangga keempat dengan lapan mata dan turut mempunyai motivasi besar mencatat kemenangan.

Jika berjaya menewaskan City, Watford akan mempunyai 11 mata – meletakkannya di persada liga untuk sekurang-kurangnya 24 jam – kali pertama mereka berada di tangga teratas sejak melakukannya dalam Liga Divisyen Satu yang lama pada 1982. – AFP, Reuters.

TEMUI SASARAN: Pemain Arsenal, Hector Bellerin (jersi merah), menyumbatkan gol pasukannya semasa menewaskan FC Cologne 3-1 dalam Liga Europa dinihari semalam. – Foto REUTERS

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.