Alibaba tubuh tujuh makmal R&D di serata dunia, termasuk S’pura

Berita Harian - - BERITA -

SINGAPURA akan menempatkan salah satu daripada tujuh makmal penyelidikan yang bakal ditubuhkan syarikat teknologi China Alibaba dalam satu pelaburan penyelidikan dan pengembangan (R&D) bernilai berbilion dolar.

Syarikat itu mengumumkan semalam ia akan menubuhkan makmal di China (Beijing dan Hangzhou), Amerika Syarikat (San Mateo dan Bellevue), Russia (Moscow) dan Israel (Tel Aviv) di bawah program Discovery, Adventure, Momentum and Outlook (Damo) Academy Alibaba.

Makmal baru itu akan menangani pelbagai isu teknologi seperti Internet of Things dan interaksi manusia-mesin, dengan tujuan meningkatkan kecekapan, keselamatan rangkaian dan sinergi ekosistem bagi pengguna dan perniagaan.

Dengan langkah terbaru itu, Alibaba akan meningkatkan perbelanjaan R&D sebanyak lebih seganda kepada AS$15 bilion ($20.3 bilion) dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Kehadiran Alibaba di sini termasuk taruhan majoriti dalam syarikat runcit dalam talian yang berpangkalan di Singapura, Lazada, yang memiliki kedai dalam talian RedMart.

Syarikat Alibaba, yang kini menggajikan kira-kira 25,000 jurutera dan saintis di seluruh dunia, merancang menarik lebih ramai kakitangan bagi makmal itu.

Lembaga penasihat Damo Academy seramai 10 orang, yang akan menerajui penyelidikan, dianggotai pakar daripada institusi pengajian tinggi terkemuka di China dan Amerika, seperti Princeton dan Harvard.

Program itu menandakan peningkatan besar dalam R&D dan bertujuan membantu syarikat bernilai AS$469 bilion itu menjadi setaraf Amazon.com dan Tencent Holdings dalam mencapai kemajuan yang berpotensi mengubah industri, kata Bloomberg News.

Ini seiring dengan cita-cita yang diluahkan penggubal dasar yang ingin China menjadi pemimpin global dalam kecerdasan buatan, katanya.

“Makmal ini akan membantu menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi Alibaba di seluruh rangkaian perniagaannya,” kata Ketua Pegawai Teknologi Alibaba, Encik Jeff Zhang.

“Ia juga akan berada di barisan depan dalam usaha membangun teknologi generasi akan datang,” tambahnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.