Banyan Tree bakal buka hotel dekat Taman Haiwan S’pura

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

MEREKA yang suka meluangkan masa di Taman Haiwan Singapura, River Safari atau Night Safari akan berpeluang menikmati pengalaman bermalam di sana.

Sebuah hotel yang dikendalikan oleh Banyan Tree Holdings – rangkaian hotel Singapura yang terkenal dengan resort mewah di serata dunia – akan dibina di Mandai.

Apabila siap, ia akan menjadi resort Banyan pertama di Singapura, menurut satu laporan akhbar The Straits Times, yang menukil syarikat itu, semalam.

Hotel tersebut akan menyambut tetamu pertamanya menjelang 2023.

Pada masa itu, dua taman kehidupan liar baru – Taman Burung Jurung yang ditempatkan semula dan sebuah taman hutan hujan baru – akan menyertai senarai tarikan di kawasan Mandai.

Rancangan bagi hotel itu diumum oleh Banyan Tree dan Mandai Park Holdings dalam satu sidang media semalam.

Mandai Park Holdings pemaju yang mengetuai rancangan menyegarkan semula Mandai dan menjadikan ia sebuah destinasi alam semula jadi dengan lima taman kehidupan liar.

Walaupun perkhemahan semalaman pernah diadakan di Taman Haiwan Singapura, resort itu akan buat pertama kali menawarkan pengalaman menginap di sebuah hotel yang menyediakan perkhidmatan sepenuhnya.

Hotel berkenaan akan dibataskan kepada empat tingkat atau setinggi 21 meter di tapak seluas 4.6 hektar atau bersamaan dengan enam padang bola dan menawarkan bermacam jenis penginapan.

Selain bilik keluarga dan bilik biasa, ia akan menawarkan peluang menginap di kabin tinggi dan rumah pokok.

Kepelbagaian jenis bilik ini juga akan memenuhi keperluan tetamu yang mempunyai bajet berbeza,” kata Encik Mike Barclay, Ketua Eksekutif Kumpulan Mandai Park Holdings dalam sidang media itu.

Hotel berkenaan boleh memiliki sehingga 400 bilik iaitu jumlah maksimum ditetapkan dalam satu penilaian kesan sekitaran.

Ini berbanding dengan tapak yang memiliki keluasan serupa di kawasan bandar, yang boleh menampung lebih 1,000 bilik.

“Pengalaman menginap ini membentuk sebahagian penting dalam wawasan keseluruhan kami untuk alam semulajadi Mandai dan kehidupan liar, menggalak tetamu menghargai dan memulihara biodiversiti menerusi pengalaman menarik.

“Banyan Tree mempunyai rekod yang baik dalam membangunkan dan menguruskan resort yang terletak di kawasan sensitif dan dikendalikan secara mapan,” ujar Encik Barclay.

Banyan Tree dipilih sebagai pengendali hotel menyusuli satu peraduan rekaan, yang diserai oleh lapan syarikat.

Kerja binaan akan bermula pada 2020, selepas pelan operasi dan rekaan dimuktamadkan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.