AS kerah jet pengebom ke Semenanjung Korea

Berita Harian - - BERITA DUNIA -

SEOUL: Tentera Amerika Syarikat telah menghantar dua pesawat supersonik B-1B Lancer ke Semenanjung Korea sebagai langkah menunjukkan kekuatan ketenteraannya.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap, semalam melaporkan tindakan Washington itu dibuat di tengah-tengah peningkatan ketegangan berhubung program peluru berpandu dan nuklear Korea Utara.

Kededua pengebom B-1B disertai dua jet pejuang F-15K daripada tentera Korea Selatan selepas kededua berlepas daripada pangkalan mereka di Guam, menurut Ketua Turus Bersama Korea Selatan dalam satu kenyataan semalam.

Tentera Amerika berkata dalam satu kenyataan berasingan bahawa jet pejuang Jepun juga menyertai latihan itu, menjadikannya latihan gabungan pertama pada sebelah malam bagi pengebom Amerika dengan jet pejuang Jepun dan Korea Selatan.

Selepas memasuki ruang udara Korea Selatan, kededua pengebom menjalankan ujian peluru berpandu daripada udara ke darat di kawasan perairan di pantai timur Korea Selatan, sebelum menjalankan latihan di perairan antara Korea Selatan dengan China, menurut kenyataan itu lagi.

Tentera Korea Selatan berkata latihan itu merupakan sebahagian latihan tetap bagi mempertingkatkan keupayaan pertahanan ketenteraan dan memaparkan perikatan yang dijalin antara Amerika dengan Korea Selatan.

Mejar Patrick Applegate, daripada Tentera Udara Amerika berkata:

“Penerbangan dan latihan bersama sekutu kami dengan cara yang selamat dan berkesan merupakan keupayaan penting yang dikongsi antara Amerika, Jepun dan Korea Selatan selain mempertingkatkan kehebatan taktikal setiap negara,” jelasnya.

“Ini adalah satu paparan yang jelas tentang keupayaan kita menjalankan operasi yang lancar dengan semua sekutu kami pada bila-bila masa, di mana sahaja,” menurut kenyataannya itu lagi.

Sementara itu, penggodam komputer Korea Utara berjaya mencuri beratus dokumen sulit tentera daripada Korea Selatan, termasuk pelan operasi terperinci jika berlaku peperangan membabitkan Amerika.

Akhbar harian Chosun Ilbo, melaporkan seorang pembuat dasar parti Demokratik pemerintah, Encik Rhee Cheol-Hee, berkata penggodam memecah masuk ke dalam rangkaian tentera Korea Selatan, September lalu dan memperoleh akses kepada 235 gigabait data sensitif.

Akhbar itu memetik Encik Rhee sebagai berkata antara dokumen bocor adalah Pelan Operasi 5015, digunakan jika berlaku perang dengan Pyongyang serta prosedur serangan “memusnahkan” ke atas pemimpin Kim Jong-Un.

Encik Rhee, anggota jawatankuasa pertahanan parlimen tidak dapat dihubungi bagi mengulas, namun pejabatnya berkata kenyataannya itu benar.

Memetik Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Encik Rhee berkata 80 peratus dokumen bocor belum dikenal pasti.

Namun, katanya, pelan kontingensi bagi pasukan khas negara itu dicuri, selain butiran berkaitan latihan ketenteraan bersama tahunan dengan Amerika serta maklumat berhubung kemudahan utama ketenteraan dan loji nuklear.

Menurut pemerintah Korea Selatan, Pyongyang memiliki 6,800 pakar terlatih perang siber.

Mereka juga dituduh melancarkan serangan siber peringkat tinggi, termasuk menggodam Sony Pictures pada 2014. – AFP, Reuters.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.