Maliki wakili Singapura sebagai pemerhati

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

MENTERI Negara Kanan (Pertahanan), Dr Mohamad Maliki Osman, akan menghadiri upacara pelancaran Rondaan Udara Tiga Pihak (TAP) di Pangkalan Udara Subang di Malaysia hari ini.

Beliau mewakili Menteri Pertahanan Ng Eng Hen.

Singapura dan Brunei diundang ke upacara itu sebagai pemerhati oleh tiga negara yang menganggotai TAP – Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Di Subang, Dr Maliki akan bertemu menteri pertahanan dari negara yang menghadiri upacara tersebut untuk membincangkan usaha mencegah pengganasan serantau dan bidang kerjasama lain.

Dalam satu kenyataan semalam, Menteri Pertahanan (Mindef) berkata Singapura menyokong langkah mempertingkat usaha mencegah pengganasan serantau.

TAP melengkapi Rondaan Kelautan Tiga Pihak (TMP) dalam usaha menentang ancaman keselamatan kelautan dan pengganasan.

TMP dilancar Jun lalu oleh Indonesia, Malaysia dan Filipina, dengan Singapura dan Brunei diundang sebagai pemerhati.

Dr Maliki turut mewakili Dr Ng di majlis pelancaran itu.

Dalam pada itu, Mindef berkata ia dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah menawarkan keupayaan Pusat Lakuran Maklumat (IFC) untuk membantu dan menyokong perkongsian maklumat kelautan bagi TMP.

DR MALIKI: Mewakili Menteri Pertahanan Ng Eng Hen di upacara Rondaan Udara Tiga Pihak di Pangkalan Udara Subang hari ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.