Cepat bebas hutang rumah dek bayar pukal, tingkat jumlah ansuran

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT - NUR ADILAH MAHBOB

PASANGAN suami isteri Mohammad Imran Mohammad Amin dan Nurhafizah Syed Hussain Shah habis membayar pinjaman flat empat bilik mereka di Punggol dalam masa lapan tahun setelah membelinya.

Flat tersebut dibeli pada harga $345,000 pada 2009, dengan geran $40,000 kerana mereka tinggal dekat dengan ibu bapa.

Pada Ogos lalu, Cik Nurhafizah, 36 tahun, seorang penaksir bebas, dan Encik Mohammad Imran, 40 tahun, seorang kakitangan logistik, melunas hutang mereka bagi flat tersebut.

Ini setelah pasangan itu membuat dua kali bayaran balik sebahagian jumlah pokok, iaitu bayaran secara pukal, menggunakan wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) pada 2015 dan tahun ini, untuk mengurangkan hutang mereka.

Jumlah dua bayaran itu ialah $128,000.

Pada 2015, pasangan itu juga menambah bayaran ansuran bulanan flat mereka daripada $684 kepada $831 untuk mengurangkan tempoh bayaran hutang mereka.

“CPF suami saya sahaja memang cukup untuk membayar hutang rumah setiap bulan sebelum ini. Oleh itu, CPF saya tidak digunakan.

“Setelah mengumpul sejumlah wang CPF, saya memutuskan membuat pembayaran balik sebahagian jumlah pokok menggunakan wang CPF, daripada membiarkan ia terbiar dan tidak digunakan,” ujar Cik Nurhafizah.

Ini membolehkan pasangan itu mengurangkan hutang mereka, tempoh pembayaran serta bayaran faedah.

“Kami ingin bebas hutang secepat mungkin,” ujar Cik Nurhafizah.

Pasangan itu mempunyai tiga anak berusia tujuh tahun, empat tahun dan dua tahun.

Pemilik flat boleh memohon untuk membuat bayaran balik sebahagian jumlah pokok pinjaman bagi flat mereka menerusi laman HDB InfoWeb.

Menerus khidmat elektronik itu, pemilik flat boleh mengira jumlah bayaran yang ingin dibuat.

Jumlah minimum bagi bayaran balik ialah $500 jika tarikh permulaan pinjaman adalah sebelum 1 April 2012, atau $5,000 jika permulaan pinjaman ialah pada atau selepas 1 April 2012.

Menyusuli bayaran balik sebahagian jumlah pokok, pemilik boleh mengubah jumlah bayaran bulanan ansuran bagi pinjaman rumah mereka atau mengurangkan tempoh bayaran dengan mengekalkan bayaran ansuran setiap bulan.

HDB berkata ramai pemilik flat tidak tahu bahawa mereka boleh membuat bayaran seperti itu untuk menikmati penjimatan faedah.

HDB telah meninjau beberapa cara untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya perancangan kewangan, termasuk menghantar surat kepada isi rumah yang menggalakkan mereka membuat bayaran balik sebahagian modal bagi pinjaman mereka, jika mereka bersedia berbuat demikian.

MANFAATKAN WANG CPF: Setelah membeli flat empat bilik di Punggol pada 2009, Encik Mohammad Imran Mohammad Amin dan Cik Nurhafizah Syed Hussain Shah habis membayar hutang flat itu Ogos lalu, antara lain dengan membayar pukal menggunakan wang CPF. – Foto M.O. SALLEH

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.