Liverpool terdesak menang, Manchester U penuh yakin

Berita Harian - - SUKAN -

LONDON: Dua kelab gergasi Inggeris – Liverpool dan Manchester United – akan bertarung lusa dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL) yang amat penting bagi kedua-dua pasukan Sabtu ini.

Liverpool tidak mampu kalah kerana ia sekarang keciciran tujuh mata di belakang dua kelab teratas – Manchester City dan United – dan kekalahan boleh membesarkan lagi jurangnya dengan mereka.

Mentelah perlawanan berlangsung di Anfield.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, pula amat terdesak untuk menang kerana pasukannya hanya menang satu daripada tujuh perlawanan terakhirnya dalam semua pertandingan.

The Reds juga sedang mengejar kemenangan pertama di laman sendiri sejak menang dengan bergaya 4-0 ke atas Arsenal Ogos lalu.

Pengurus United, Jose Mourinho, pula mengharapkan kemenangan untuk mengekalkan keyakinan anak buahnya – mereka ke Anfield dengan penuh yakin selepas memenangi sembilan daripada 10 perlawanan terakhir mereka.

The Red Devils tentu yakin akan peluang mereka di Anfield kerana pintu gawang Liverpool telah dibolosi lebih 12 kali dalam tujuh perlawanan EPL sebelum ini.

Namun, United kini mengalami krisis kecederaan di bahagian tengah, walaupun ia dianggap pasukan yang mempamerkan permainan terbaik.

Marouane Fellaini, misalnya, mengalami kecederaan di bahagian lutut dan tidak akan diturunkan selama beberapa minggu, sementara Paul Pogba masih menghadapi masalah hamstring.

Awal minggu ini, Mourinho berkata beliau bimbang mengenai rancangan Belgium menurunkan penyerang United, Romelu Lukaku, bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Cyprus empat hari sebelum United bertemu Liverpool.

Lukaku, yang tidak diturunkan ketika Belgium menentang Bosnia minggu lalu akibat kecederaan buku lalu, telah diturunkan sewaktu Belgium meraih kemenangan 4-0 ke atas Cyprus dalam aksi kelayakan Piala Dunia, awal pagi semalam.

Romelu Lukaku yang kembali daripada kecederaan menggunakan kekuatan fizikalnya melepasi halangan Giorgos Merkis untuk menjaringkan gol keempat Belgium pada minit ke-78.

Mourinho menyifatkan perlawanan tersebut tidak bermakna untuk Belgium memandangkan mereka sudah layak ke peringkat akhir Piala Dunia di Russia, sedangkan beliau terdesak menurunkan penjaring terbanyak pasukannya itu bagi menentang The Reds.

Lukaku menjaringkan 11 gol dalam 10 perlawanan sejak berpindah ke Old Trafford para bayaran kos £75 juta ($134 juta) pada musim panas lalu, dan Mourinho terdesak menurunkan bekas penyerang Everton itu dalam pertembungan penting musim ini.

Berkaitan kecederaan, Klopp masih belum dapat menurunkan Adam Lallana yang cedera, sementara Nathaniel Clyne masih menerima rawatan bagi masalah belakang.

Permain pertahanan Dejan Lovren masih bergelut dengan pelbagai kecederaan sejak beberapa minggu lalu, tetapi dijangka dapat beraksi. Danny Ings pula berikrar kekal bersama Liverpool dan bersaing merampas semula tempat dalam kesebelasan utama.

Penyerang Liverpool Sadio Mane pula terpaksa direhatkan sehingga enam minggu selepas mengalami kecederaan hamstring ketika tugasan antarabangsa, kata kelab itu semalam.

Biarpun hanya menang tiga daripada tujuh perlawanan musim ini, peluang Liverpool mencabar kejuaraan liga belum tertutup kerana persaingan masih panjang, tegas Klopp.

“Saya tidak boleh bercakap tentang jurang antara kami dan pasukan lain. Ya, kami sedang berdepan detik sukar sekarang, tetapi pasukan lain juga akan menghadapi situasi sama kerana liga masih panjang.

“Saya cuma berasa kami tidak terlalu jauh untuk mencabar kejuaraan. Kalau kami boleh menjaringkan lebih banyak gol dan memenangi lebih banyak perlawanan, keadaan akan berubah,” ujarnya lagi.

Namun, Klopp perlu mencari jawapan segera bagi menangani kerapuhan pertahanan pasukannya.

Bekas pemain Liverpool, Jamie Carragher, menilai pasukan itu bukan calon untuk menjuarai EPL musim ini.

The Reds kini dilihat berada dalam prestasi ‘yoyo’, apatah lagi selepas gagal mengutip tiga mata penuh ketika menentang Newcastle United minggu lalu.

Carragher mengulas bahawa perpindahan pemain yang dilakukan Liverpool tidak baik musim ini.

“Mereka tidak melakukan pembelian yang diperlukan untuk menguatkan pasukan dan itu menjadi masalah mereka.

“Apakah Liverpool merupakan calon untuk juara musim ini? Tidak,” katanya. – Agensi berita.

PRESTASI HAMBAR: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, terdesak memenangi perlawanan di Anfield selepas menang hanya sekali daripada tujuh perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan. – Foto AFP

MASALAH KECEDERAAN: United dilanda masalah kecederaan, biarpun pasukan Jose Mourinho ke Anfield dengan penuh keyakinan lepas memenangi sembilan daripada 10 perlawanan terakhir mereka. – Foto AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.