Pengawal ‘Kelas Pertama’ urus trafik udara S’pura

Berita Harian - - MUKA DEPAN - HARYANI ISMAIL

DENGAN trafik udara dijangka bertambah sibuk di rantau Asia Pasifik dalam tahun-tahun mendatang, pengawal trafik udara Hermizan Mohamed Jumari khuatir ilmu yang dimiliki tidak mencukupi bagi mengatasi cabaran yang melanda.

Lantaran itu, Ketua Perancangan Operasi Pengurusan Trafik Udara di Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) itu mengambil keputusan melanjutkan pengajian ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pentadbiran Perniagaan Penerbangan, lima tahun lalu.

Kelmarin, segala pengorbanan masa dan tenaga berhasil apabila Encik Hermizan, 42 tahun, meraih ijazah Kepujian Kelas Pertama di majlis tamat pengajian Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Beliau adalah antara kohort pertama lulusan SUSS yang sebelum ini dikenali sebagai Universiti SIM. Majlis tamat pengajian institusi itu berlangsung selama dua hari sejak Rabu lalu.

Ketika dihubungi, Encik Hermizan, yang mempunyai tiga anak kembar berusia sembilan tahun, berkata:

“Ijazah Kepujian Kelas Pertama ini mengiktiraf segala kerja keras saya sepanjang pengajian. Alhamdulillah, semua ini tidak mampu saya capai tanpa doa ibu bapa dan isteri serta sokongan teman sekerja.

“Moga kejayaan saya akan memberi inspirasi kepada anak-anak agar maju dalam pelajaran.”

Encik Hermizan mengetuai pasukan kecil seramai empat orang di CAAS sebelum memulakan pengajian.

Lama-kelamaan, dengan ilmu kursus tersebut yang dapat dimanfaatkan serta-merta, beliau diberi kepercayaan melakukan pelbagai tugas lain dan kini menyelia 12 pekerja.

“Program ijazah ini melengkapi saya dengan ilmu dan kemahiran relevan bagi menguruskan pasukan saya dengan lebih berkesan.

“Subjek seperti kepimpinan, tingkah laku pertubuhan dan pengurusan sumber insan membantu saya membangun dan menajamkan kemahiran berhubung sesama pekerja.

“Tambahan, subjek mengenai perniagaan penerbangan juga memperluas perspektif saya tentang ekosistem penerbangan masa kini.

“Saya lebih mampu memahami isu yang dihadapi sektor penerbangan dan pengendali lapangan terbang,” ujarnya lagi.

Mengimbangi masa antara tuntutan tugas yang memerlukannya menghadiri mesyuarat dan persidangan di luar negara di samping waktu buat isteri dan anak menjadi cabaran utama.

“Jika tarikh persidangan luar negara bertembung dengan cuti sekolah, saya akan menggunakan wang sendiri dan membawa seisi keluarga ikut serta ke negara di mana sidang itu diadakan.

“Mereka akan bersiar-siar manakala saya sibuk bermesyuarat,” ceritanya.

Encik Hermizan menyifatkan isterinya, Cik Siti Alawiyah Sawifi, 40 tahun, jururawat kanan jagaan kritikal sambilan, sebagai tunggak kekuatan.

“Selain dorongan yang tidak putus-putus, beliau sering memastikan sekitaran di rumah selesa bagi saya belajar dan menyiapkan tugasan.

“Anak-anak dibawa isteri menonton wayang atau keluar bermain pada hujung minggu agar saya boleh fokus dalam mengulang kaji pelajaran,” katanya lagi.

TAMBAH ILMU BISNES PENERBANGAN: Encik Hermizan meraih ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pentadbiran Perniagaan Penerbangan, Kepujian Kelas Pertama, berkat dorongan isteri, Cik Siti Alawiyah Sawifi. Bersama mereka ialah kembar tiga mereka, (dari kiri) Adil, Akil dan Aaliyah. – Foto M.O. SALLEH

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.